Ketua jurulatih Paraguay, Eduardo Berizzo menyelar penyertaan dua pasukan dari Asia, Qatar dan Jepun dalam temasya Copa America edisi kali ini.

Berizzo berkata demikian setelah pasukannya mencatat keputusan seri 2-2 ketika berdepan Qatar pada perlawanan yang berlangsung pagi tadi. Menurut Berizzo, kejohanan Copa America sepatutnya melibatkan pasukan dari benua Amerika sahaja dan tidak perlu melibatkan pasukan dari benua lain.

“Saya rasa lebih masuk akal apabila saingan Copa America hanya melibatkan pasukan dari benua Amerika. Kita patut bayangkan pasukan dari Amerika tengah, selatan dan utara bermain dalam kejohanan ini. Saya tak pernah melihat kejohanan di Eropah menjemput pasukan dari Amerika Selatan untuk mengambil bahagian.

Paraguay player
Sumber Gambar: Okezone Bola

“Jangan salah sangka. Kenyataan saya ini mungkin kedengaran sedikit tegas apatah lagi selepas kami bermain menentang pasukan Qatar. Tapi saya percaya Copa Amerika sepatutnya dimainkan oleh pasukan Amerika dan dijadikan sebagai satu kejohanan sambil disertai oleh pasukan dari CONMEBOL dan CONCACAF,” kata Berizzo.

Paraguay dilihat tidak menghadapi masalah untuk mencatat kemenangan pada perlawanan pembukaan dimana Oscar Cardozo dan Derlis Gonzales masing-masing menjaringkan satu gol.

Almoez Ali
Sumber Gambar: Qatar FA

Namun, Qatar berjaya bangkit pada separuh masa kedua dimana penjaring terbanyak Piala Asia 2019, Almoez Ali menjaringkan gol sebelum pemain Paraguay, Juan Rodrigo Rojas tertanduk masuk bola ke gawang sendiri. Kedudukan 2-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Satu lagi pasukan Asia, Jepun akan turun berdepan Chile pada esok dimana pemain yang baru sahaja dibeli oleh Real Madrid, Takefusa Kubo dijangka akan diturunkan dalam kesebelasan utama.