Pasukan negara gagal memberikan saingan kepada Jordan dalam satu aksi persahabatan sekaligus tewas dengan keputusan 4-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium King Abdullah II, Amman semalam.

Jaringan hatrik oleh penyerang muda, Ali Olwan dan satu gol daripada Odai Al-Saify sudah cukup untuk memberikan kemenangan besar bagi Jordan.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe menampilkan kelemahan di semua posisi dan yang paling ketara ialah bahagian serangan yang diketuai oleh Guilherme De Paula.

De Paula gagal menampilkan prestasi terbaik dimana beliau tidak menghadirkan ancaman kepada benteng pertahanan lawan selain tidak berjaya untuk mencipta persefahaman yang baik bersama rakan sepasukan yang lain.

Peminat bola sepak tanah air turut mengkritik persembahan yang ditampilkan oleh De Paula dimana rata-rata daripada mereka menganggap membawa De Paula adalah satu pembaziran.

Melihat kepada perkara ini, ramai yang mencadangkan agar Tan Cheng Hoe memberikan peluang kepada penyerang muda, Luqman Hakim diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan kedua menentang Uzbekistan pada Sabtu ini.

Luqman Hakim diturunkan pada lewat separuh masa kedua pada perlawanan menentang Jordan dan beliau beraksi di samping dua pemain sayap Terengganu iaitu Faisal Halim dan Hakimi Abdullah.

Kepantasan yang dimiliki oleh ketiga pemain ini dilihat boleh memberikan kelebihan kepada pasukan negara sekaligus mampu untuk memberikan ancaman kepada benteng pertahanan Uzbekistan.

Perlawanan menentang Jordan dan Uzbekistan menjadi medan pemanas badan bagi pasukan negara sebelum menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2020 pada Disember ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan di sini:

Skuad Negara Gagal Saingi Kehebatan Jordan

Luqman Hakim Akan Diberikan Lebih Banyak Minit Permainan Bersama Harimau Malaya

Guilherme De Paula Harapan Harimau Malaya Robek Gawang Jordan Dan Uzbekistan