Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Gustavo Silveira da Silva hanya mahu menikmati sepuas-puasnya kejayaan menjulang trofi Liga Super sebelum meneruskan pemburuan kejuaraan TM Piala Malaysia.

Kejayaan menjulang trofi Liga Super lebih manis kali ini apabila ledakan dua gol dijaringkan oleh Bergson pada aksi terakhir liga menentang Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Keadaan itu menyaksikan pemain import Brazil tersebut berjaya mengumpul sebanyak 29 gol secara keseluruhan pada musim ini dalam 22 perlawanan Liga Super.

Apa yang paling menggembirakannya adalah perlawanan terakhir berdepan Sabah itu disajikan dengan persembahan yang cukup memuaskan bukan sahaja daripada dirinya tetapi keseluruhan pasukan yang menjadikan malam itu amat bermakna buat mereka.

Kelibat Bergson sentiasa memberikan ancaman buat pasukan lawan. Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

“Rasa sangat-sangat bagus dan sebenarnya hampir sahaja nak menjaringkan tiga gol, sikit kecewa tetapi tidak mengapa sebab kemenangan ini benar-benar bermakna untuk saya dan pemain lain.

“Bukan sahaja berbangga dengan diri sendiri, tetapi turut berbangga dengan satu pasukan ini sebab persembahan yang ditampilkan cukup cemerlang.

“Kami menikmati setiap minit perlawanan itu dan saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong JDT, saya sangat sayangkan kelab ini, jadi terima kasih banyak-banyak”, jelasnya.

JDT meraih trofi Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut selepas mengekalkan rekod bersih tanpa sebarang kalah dalam 22 perlawanan untuk meraih 56 mata hasil 17 kemenangan dan lima keputusan seri.