Pemain yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, Kobe chong kini sedang mencari kelab baharu selepas beliau bergelar ejen bebas.

Salah satu badan yang membantu pemain dari liga bawahan England mencari kelab baharu iaitu Free Agent Showcase memuat naik gambar Kobe yang menunjukkan pemain itu mencari kelab baharu bagi saingan musim 2023/2024 selepas bergelar ejen bebas.

Kobe kemudiannya membalas ciapan tersebut dengan memasukkan video ketika beliau menjaringkan gol semasa pemain itu menyarung jersi Telford United.

Kobe sebelum ini mengumumkan bahawa beliau meninggalkan Nuneaton Borough  dimana pemain itu hanya beraksi selama tiga bulan bersama kelab tersebut.

“Saya memutuskan untuk meninggalkan Nuneaton Borough. Saya sangat menikmati waktu singkat bersama kelab ini. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada pasukan,” katanya.

Ketika beraksi bersama Telford, Kobe Chong pernah mendapat pujian daripada pengurus pasukan ketika itu iaitu Paul Caden.

Selepas menandatangani kontrak bersama pasukan, Kobe terus diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan persahabatan menentang Shrewsbury Town.

“Dia berada di kelas tersendiri. Dia menunjukkan semua orang kenapa kita perlu menandatanganinya. Dia mempunyai tahap kesedaran yang baik sebagai pemain muda.

“Tahap kecergasan Kobe juga baik. Ini merupakan perlawanan pertama beliau di sini dan saya cukup kagum dengan apa yang diberikan olehnya,” kata Caden.

Meskipun menampilkan prestasi yang baik, namun Telford mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak Kobe Chong pada Februari tahun ini.

Kobe pernah dikaitkan dengan Sri Pahang setelah pemain itu pernah berjumpa dengan presiden Pahang Rangers, YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada Mei tahun lalu.