Peminat bola sepak tanah air berharap pemain sayap negara, Safawi Rasid dapat beraksi dalam saingan Liga Korea dalam masa terdekat.

Harapn ini muncul selepas Safawi bergambar dengan ejen bekas ketua jurulatih TRW Kelantan, Choi Moon-sik iaitu Myeongho Jeong ketika lawatan ejen itu ke Thailand.

Jeong memuat naik gambar beliau bersama Safawi di laman media sosial Instagram miliknya dan peminat memberi komen agar ejen itu cuba membawa pemain berusia 25 tahun itu agar beraksi dalam saingan Liga Korea.

Safawi Rasid
Safawi Rasid

Sebelum ini, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) menegaskan beliau masih berhubung dengan Safawi Rasid dan merasakan pemain itu tidak begitu selesa di Thailand.

“Safawi ada berhubung dengan saya. Saya rasa dia tak begitu selesa di sana. Kita tengok macam mana kerana yang nak pergi loan bukan saya yang hantar dia. Dia yang nak pergi sendiri.

“Kami hanya memberi kerjasama kepada beliau dimana dia nak dapat lebih banyak permainan dan kami beri itu semua. Buat masa ini masih belum ada kata putus sama ada dia nak balik ataupun tidak.

“Saya tahu dia kurang selesa di sana. Ada ura-ura yang mengatakan Safawi Rasid nak balik sini (JDT). Tetapi tengok dulu. Saya pun belum membuat keputusan,” kata TMJ.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh mengesahkan pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat Safawi.

Bagaimanapun, Ab Rasid Jusoh berkata ia bergantung pada persetujuan daripada pihak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mendapatkannya secara pinjaman bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

“Sejujurnya kita begitu berminat untuk menggunakan khidmat pemain itu (Safawi) bagi memperkuatkan lagi jentera sayap dan serangan pasukan lebih-lebih lagi kami bakal beraksi dalam saingan Piala AFC selain Liga Malaysia (Liga M).

“Lagipun kami sudah berusaha ke arah itu selepas dikhabarkan pemain berusia 26 tahun itu tidak begitu gembira dan selesa beraksi bersama kelab Ratchaburi FC dan bersedia untuk kembali mewarnai Liga M,” katanya.