Pemain tengah skuad kebangsaan, Lee Tuck menegaskan beliau tahu kelebihan pasukan Thailand menjelang perlawanan separuh akhir pertama saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

Tuck berkata demikian selepas membantu pasukan negara menewaskan Singapura dengan keputusan 4-1 pada perlawanan terakhir kumpulan B sekaligus memastikan Malaysia layak ke peringkat separuh akhir bertemu Thailand.

Sebelum beraksi di Malaysia, Tuck terlebih dahulu beraksi dalam saingan Liga Thailand selama enam musim dengan beberapa pasukan seperti Nakhon Pathom, Bangkok FC, Air Force Central dan Nakhon Ratchasima.

Perkara ini membuatkan beliau tahu serba sedikit mengenai kekuatan serta kelemahan pasukan Thailand kerana beliau mengenali pemain yang berada dalam skuad Gajah Perang kali ini.

“Ini akan menjadi perlawanan yang mengujakan. Saya beraksi enam musim di Thailand sebelum datang ke Malaysia. Saya kenal pemain, jurulatih dan mentaliti pemain lawan. Ketika ini Malaysia berada dalam prestasi terbaik dan saya yakin kita mempunyai kualiti untuk memenangi perlawanan itu nanti.

“Mereka mempunyai jurulatih yang mempunyai taktikal baik dan gemar untuk membuat analisis mengenai pasukan lawan. Thailand juga mempunyai pemain yang kreatif dan mereka ada penyerang yang berpengalaman. Apa yang pasti kita perlu menampilkan prestasi terbaik,” kata Lee Tuck.

Pada perlawanan semalam, pasukan negara menampilkan aksi kemas dimana mereka tidak memberi sebarang ruang kepada pemain Singapura dan menyempurnakan segala peluang yang ada.

Jaringan yang dinantikan jutaan penyokong setia negara menjelma pada minit ke-35 apabila Darren Lok menanduk masuk bola hasil hantaran lintang berkualiti dilakukan Safawi Rasid untuk meletakkan Malaysia di hadapan.

Skuad negara tampil dengan lebih meyakinkan pada babak kedua dan usaha mereka berjaya melebarkan kedudukan menerusi ledakan daripada luar kawasan penalti oleh pemain tengah Stuart Wilkin.

Bagaikan mendapat tonik berguna susulan jaringan tersebut, Wilkin menambah gol kedua peribadinya berselang empat minit kemudian.

Berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan lawan sekali gus memberikan ruang buat Safawi mengawal bola dalam kawasan penalti, beliau kemudiannya melakukan lorongan buat Wilkin yang tidak mensia-siakan peluang untuk meledakkan rembatan kaki kiri bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Ketika masa sebenar hanya berbaki lima minit untuk ditamatkan, Faris Ramli berjaya mengurangkan defisit jaringan tetapi Sergio Aguero mematikan api perjuangan Singapura menerusi jaringan ‘placing’ cantik hanya mampu dipandang Hassan pada minit ke-88.