Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tidak mengambil mudah kemampuan pendatang baharu Liga Super, Sarawak United apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.

Minggu lalu, Mora berang dengan gaya permainan yang ditampilkan oleh Penang dimana beliau menganggap pasukan bimbingan Tomas Trucha itu lebih gemar berada di kawasan sendiri serta suka membuang masa dengan cara terbaring seolah-olah mengalami kecederaan, menyebabkan JDT hanya bermain bola sepak selama 46 minit sahaja.

Oleh itu, Mora berharap Sarawak United tidak melakukan perkara sama dan beliau yakin skuad bimbingan B.Satianathan itu akan memberikan cabaran yang berbeza kepada skuad kendaliannya.

“Kami akan menganalisa corak permainan lawan itu dalam usaha untuk beraksi dengan lebih ampuh bagi mengawal rentak permainan dan dari situ kami akan tampil strategi yang berkesan bagi memburu kemenangan,” katanya.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut senada dengan Benjamin Mora dimana baginda tidak gemar dengan permainan yang ditampilkan oleh Penang dan membuat teguran menerusi laman media sosial Instagram miliknya.

“Parking bas ok. Tetapi time wasting teruk. Bayangkan statistik menunjukkan kami hanya bermain selama 46 minit sahaja. Yang lain setiap sepuluh atau tujuh minit jatuh.

“Kita sahaja negara dimana setiap kali penjaga gol menyelamatkan bola, dia akan mengalami kecederaan dan terbaring selama tiga minit. Sampai bila nak macam ni?

“Apabila jurulatih kami bertanya kepada pemain import Penang, mereka cakap itu semua arahan dari jurulatih (Tomas Trucha). Mulai dari minit kelima hingga habis perlawanan. Kesian penyokong yang hadir untuk menyaksikan perlawanan bola sepak,” katanya.

Sarawak United tewas kepada Kedah Darul Aman dengan keputusan 1-0 pada aksi pembukaan Liga Super dan sudah pasti kelab dari Borneo itu mahu bangkit dan meraih tiga mata pertama musim ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

JDT Bakal Naik Taraf Padang Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos

Tiga Perlawanan Ditunda, Motivasi Pemain Terengganu Terjejas

Ong Kim Swee: Pemain Sabah Perlukan Masa Untuk Serasi