Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengesahkan beliau akan terus mengendalikan Harimau Selatan dalam saingan Liga Malaysia musim ini selepas membantu pasukannya memenangi Piala Sumbangsih semalam.

Mora sebelum ini memberi bayangan akan meninggalkan pasukan tersebut untuk mengikut jejak langkah pemilik kelab, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) yang menegaskan akan bersara daripada terlibat dalam aktiviti bola sepak jika JDT tewas kepada KL City.

Namun kemenangan 3-0 ke atas skuad kendalian Bojan Hodak itu mengubah pendirian Mora yang mahu berkhidmat dengan JDT untuk tempoh yang lama.

“Tidak (letak jawatan)… saya sambung kontrak lagi (sambil ketawa), sudah tentu kegembiraan saya untuk melatih pasukan ini. Saya sangat bersemangat untuk memberikan yang terbaik, saya tahu saya mempunyai banyak kepercayaan terhadap pemain dan banyak kepercayaan kepada kelab bahawa kami mempunyai elemen untuk menang.

“Jadi tidak, saya tidak letak jawatan, saya rasa TMJ tidak letak jawatan,” katanya seperti dipetik dalam Bernama. 

Dalam pada itu, Mora juga berkata, semangat juang serta kesungguhan pemain membawa kepada kemenangan JDT yang berjaya peraga aksi sebenar ketika menewaskan KL City.

Dia juga menjelaskan kehadiran Forestieri akan memberikan lebih banyak variasi di bahagian serangan buat JDT pada musim ini.

“Kami tahu lawan akan tunggu di kawasan sendiri dan akan bermain secara serangan balas serta mengharapkan satu kesilapan dari kami untuk jaringkan gol.

“Namun saya tahu apabila kami terlebih dahulu dapat menjaringkan gol, situasi itu letakkan kami dalam keadaan lebih tenang.

“Apa sahaja yang telah berlaku di Bukit Jalil, tidak lagi berlaku kerana ini adalah realiti sebenar kekuatan kami dan dalam bola sepak,ada kalanya kami perlu menerima kekalahan untuk menjadikan kami lebih kuat.

“Saya rasa Fernando akan berikan kami lebih banyak peluang semasa situasi menyerang kerana dia seorang pemain yang bijak, punyai teknik tersendiri serta ada pelbagai variasi.

“Kami memerlukan pemain yang pantas melakukan hantaran, pergerakan, menukar posisi dan sentiasa berikan tekanan kepada lawan, saya tahu dia akan berikan terbaik kepada JDT,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

RTM Diumumkan Sebagai Rakan Penyiar Unifi Liga Malaysia 2022

2 Musim Ditangguhkan, Saingan Piala FA Kini Kembali

Jadual Liga Malaysia 2022 Sudah Dikemaskini, Beberapa Perlawanan Akan Bermula Pukul 8.15 Malam

RASMI: Luno Diumumkan Selaku Rakan Pelaburan Kripto, Penaja Liga Super Malaysia Dan Piala Malaysia 2022