Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tidak melihat status selaku juara bertahan Piala Sumbangsih menjadikan skuad bimbingannya itu sebagai pasukan pilihan pada perlawanan malam ini.

JDT yang tampil dengan reputasi hebat dalam kancah bola sepak tanah air pada ketika ini bakal menanti kunjungan Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Ia merupakan pertembungan buat kali keempat bagi kedua-dua pasukan dalam aksi Piala Sumbangsih dimana JDT telah memenangi dua perlawanan termasuk aksi musim lalu.

Manakala, Kedah pula berjaya menundukkan skuad Harimau Selatan itu pada edisi 2017 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

Sehubungan dengan itu juga, Mora jelas tidak mahu perlawanan yang merupakan aksi pembuka tirai saingan Liga Super musim ini diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti.

JDT
Safiq Rahim kembali bersama JDT pada musim ini. Kredit foto: JOHOR Southern Tigers

“Saya tidak sukakan penalti. Jika boleh kami mahu menamatkan permainan dalam tempoh 90 minit.”

“Kami fokus dengan persiapan kami di mana saya tidak mahu melihat kejayaan lalu (juara bertahan Piala Sumbangsih) ini menjadikan kami sebagai pasukan pilihan.”

“Kejayaan lalu tidak akan menjadikan kelebihan buat kami tetapi kami akan berusaha untuk mencatatkan keputusan positif malam esok [malam ini],” ujar Benjamin Mora bercakap pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

Bakal beraksi buat kali ketujuh berturut-turut dalam merebut Piala Sumbangsih, JDT telah memenangi gelaran tersebut sebanyak lima kali.

Selain Kedah yang sudah dihadapi sebanyak tiga kali sebelum ini, Selangor, Pahang dan Perak turut pernah menjadi lawan kelab gergasi tanah air itu.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Aidil Sharin: Pemain Kedah Perlukan Sedikit Masa Untuk Sesuaikan Diri

Penyokong Kuala Lumpur ‘Bengang’ Dengan Pengurusan Pasukan, #TAMKeterehOut Jadi Perhatian

BG Pathum United Muncul Juara Saingan Thai League 1 Musim 2020/2021