Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tanpa berselindung menerima dengan hati terbuka keputusan seri 2-2 dengan Sri Pahang FC sambil tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain di atas keciciran dua mata berharga di laman sendiri.

Pengendali kelahiran Mexico itu jelas akur segalanya kurang menjadi dan mereka tidak berada di tahap terbaik yang menjadi penyumbang utama kepada kegagalan mereka menjinakkan Sri Pahang.

“Perlawanan ini sememangnya agak sukar kerana Sri Pahang bermula baik dan mereka banyak melakukan serangan berbahaya melalui pemain import dari Argentina (Manuel Hidalgo) dan pemain sayap lawan begitu pantas serta ada teknik yang baik.”

“Malah, mereka menekan kami dengan agak baik dan segalanya agak kompleks di separuh masa pertama tetapi segalanya berubah di babak kedua kerana kami lebih banyak menyerang sebelum berjaya mendapatkan satu jaringan.”

“Hari ini bukan sebab masalah formasi tetapi kami tidak bermain seperti yang diharapkan dan serta terlalu agresif dalam memberikan tekanan kepada lawan.”

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

“Kami banyak kalah semasa bersaing dengan pemain lawan dan keadaan ini membuka situasi kepada keputusan seimbang 2-2,” tambah Benjamin Mora lagi.

Penyerang JDT, Bergson da Silva meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit 17 sebelum Saiful Jamaluddin menyamakan kedudukan pada minit 38.

Hidalgo memastikan Sri Pahang berada di hadapan pada minit ke-42 namun Bergson menyelamatkan maruah JDT melalui jaringan penalti pada minit ke-88.

Keputusan seri itu bagaimanapun tidak menghalang JDT untuk kekal berada di tangga teratas Liga Super Malaysia 2022 dengan 16 mata sementara Sri Pahang di tangga ke-8 dengan pungutan 8 mata.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Malaysia melalui pautan dibawah.

Kim Pan Gon Mahu Lihat Sendiri Aksi De Paula Dalam Dua Perlawanan Persahabatan

Jang Suk-won Mungkin Bersara, Kedah Cari Pemain Import Asia Baharu

Ong Kim Swee Tak Sangka Sabah Mampu Ledak 4 Gol Bertemu Penang