Bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora kini muncul sebagai calon terbaharu yang dikaitkan dengan jawatan Ketua Jurulatih kelab gergasi Indonesia, Persib Bandung bagi menggantikan tempat Robert Alberts.

Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini

Alberts yang juga bekas jurulatih Sarawak telah letak jawatan semalam ekoran prestasi buruk pasukan itu selepas mencatat kekalahan dalam dua perlawanan berturut-turut sehingga terperosok di tangga tercorot Liga 1 Indonesia.

Nama Benjamin Mora mula menjadi sebutan dalam kalangan penyokong Persib Bandung apabila jurulatih dari Mexico itu dilaporkan telah bersetuju secara lisan untuk mengendalikan pasukan tersebut.

Salah satu akaun penyokong Persib di Instagram, @quotes.persib.1933, mendedahkan bahawa pengurusan Persib Bandung telah mencapai kata sepakat dengan Mora. Namun setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pengurusan kelab itu.

Khabar angin tersebut turut menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan media Indonesia.

Mora merupakan jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan turut membawa Harimau Selatan mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.

Beliau telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan. Malah, ketika meninggalkan skuad Harimau Selatan, pasukan itu masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Super musim ini selepas mengharungi 11 perlawanan.

Kehadirannya dalam pasukan Persib Bandung sangat diperlukan untuk mengembalikan semula status mereka sebagai pasukan terbaik Asia Tenggara.

Selain Persib Bandung, satu lagi pasukan yang dikaitkan dengan jurulatih tersebut ialah kelab terkaya dari Singapura, Lion City Sailors bagi menggantikan tempat Kim Do-hoon. Pengendali dari Korea Selatan itu mengejutkan peminat bola sepak Asia Tenggara apabila telah melepaskan jawatannya atas persetujuan bersama pihak pengurusan.

Punca perletakan jawatan itu tidak dinyatakan namun difahamkan ia mempunyai kaitan dengan insiden pergaduhan dengan penolong jurulatih Tampines Rovers, Mustafic Fahrudin dalam saingan Liga Singapura pada 24 Julai lalu.

Jawatankuasa disiplin Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) turut mengenakan hukuman denda dan penggantungan 3 perlawanan ke atas dua jurulatih itu, yang menyekat mereka daripada memasuki bilik persalinan dan menyertai pemain dan staf lain di tepi padang bagi tiga perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) yang seterusnya.

Bagaimanapun, timbul khabar angin di media sosial mengatakan Benjamin Mora bakal dilantik sebagai Ketua Jurulatih baharu Lion City Sailors berdasarkan pengalamannya bersama JDT selama 8 tahun.

Melihat kepada hubungan baiknya dengan kapten Lion City Sailors, Harris Harun yang juga bekas pemain JDT, tidak mustahil kemasukan Benjamin Mora menjadi kenyataan apatah lagi pasukan tersebut bakal beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) musim depan.

Kemanakah destinasi Benjamin mora selepas ini? Adakah beliau akan kembali melatih mana-mana pasukan Asia Tenggara? Sama-sama kita saksikan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

RASMI: Selangor Umum Nidzam Jamil Sebagai Ketua Jurulatih Sementara

Piala FA 2022: Rahadiazli Bawa Terengganu Mara Ke Final Jumpa JDT

Piala FA 2022: JDT Mara Ke Final Selepas ‘Tibai’ Penang 6-1

Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Tarik Perhatian Media Antarabangsa

Liga Super 2022: Amri Yahyah Wira Kebangkitan Sabah Atasi Melaka