Persatuan Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu (UAE FA) hari ini mengumumkan penamatan kontrak dengan Ketua jurulatih, Ivan Jovanovic berkuatkuasa serta-merta walaupun baru dilantik pada bulan disember 2019.

Pengendali dari Serbia itu sebelum ini dibawa masuk bagi menggantikan tempat Bert Van Marwijk yang dipecat selepas dimalukan oleh Qatar dalam kejohanan Gulf Cup 2019.

Ivanovic dipilih berdasarkan pengalamannya membimbing kelab Al Nasr pada musim 2013 hingga 2018 dan pernah membawa kelab tersebut mara ke peringkat suku akhir AFC Champions League pada tahun 2016.

Malah, beliau pernah membimbing kelab eropah, APOEL FC dan membawa mereka mara ke suku akhir UEFA Champions League buat kali pertama dalam sejarah kelab itu pada musim 2011/2012.

Bagaimanapun, Ivanovic tidak sempat mengendalikan skuad UAE dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia dan Indonesia pada bulan lepas kerana ditangguhkan susulan penularan wabak COVID-19.

Menurut kenyataan rasmi daripada UAE FA, keputusan tersebut diambil setelah mendapat rekomendasi daripada Ahli Jawatankuasa teknikal skuad kebangsaan yang diketuai oleh Yusef Hussain Al-Sahlawi, Naib Presiden UAE FA dan Pengerusi jawatankuasa.

Pihak UAE FA merasakan Ivanovic masih tidak mencapai Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sepanjang mengendalikan latihan pasukan kebangsaan.

Bimbang akan tewas kepada Malaysia dan Indonesia selepas ini, mereka kini terdesak untuk memilih barisan jurulatih yang terbaik supaya tidak terlepas sasaran untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022.

Dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, UAE berada di kedudukan keempat kumpulan G dengan 6 mata selepas 4 perlawanan. Prestasi mereka ketika dibawah bimbingan Van Marwijk tidak begitu memuaskan apabila tewas kepada dua pasukan Asean, Vietnam dan Thailand.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak UAE yang dilaporkan sebelum ini.

Prestasi Buruk Tewas 4 Dari 5 Perlawanan Terakhir, UAE Pecat Ketua Jurulatih Bert Van Marwijk

UAE Guna ‘Drone’ Untuk Pantau Sesi Latihan Menjelang Pertemuan Dengan Malaysia

Bert van Marwijk: Malaysia Miliki Pemain Yang Pantas Dan Kemahiran Teknikal Yang Baik

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group