Belanda mudah mengatasi Amerika Syarikat (USA) pada perlawanan peringkat 16 pasukan terakhir dengan keputusan 3-1 sekaligus mara ke suku akhir dalam temasya Piala Dunia 2022 di Qatar.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa, skuad bimbingan Louis van Gaal terus menguasai permainan dimana mereka membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Memphis Depay.

Amerika kemudiannya mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol penyamaan namun percubaam Timothy Weah berjaya ditepis oleh penjaga gol Belanda, Andries Noppert.

Daley Blind kemudiannya menceriakan penyokong Oranje apabila beliau menjaringkan gol pada masa tambahan dimana pemain itu merembat bola hasil daripada hantaran Denzel Dumfries. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 2-0.

Memasuki separuh masa kedua, USA menggandakan asakan ke kubu lawan bagi merapatkan jurang dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Haji Wright menolak masuk bola setelah menerima hantaran daripada Christian Pulisic pada minit ke-76.

Ketika Amerikan rancak mencari gol penyamaan, kealpaan di bahagian pertahanan dihukum apabila Dumfries menjaringkan gol ketiga pada minit ke-81 dimana beliau menyempurnakan hantaran Blind dari sebelah kiri.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan Belanda akan bertemu sama ada Argentina ataupun Australia pada peringkat suku akhir.