Belanda mudah mengatasi pasukan tuan rumah, Qatar pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan A temasya Piala Dunia 2022 dimana wakil Eropah itu mencatat kemenangan 2-0.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi yang berbeza dimana Belanda mahu mencatat kemenangan bagi mengukuhkan lagi kedudukan mereka di carta kumpulan A manakala Qatar mahu mencatat kemenangan pertama mereka dalam sejarah temasya Piala Dunia.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Al Bayt, skuad Oranje nyata menunjukkan penguasaan dimana mereka mendominasi permainan dan pasukan itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan.

Salah seorang bintang muda Belanda, Cody Gakpo melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol lawan, Meshaal Barsham pada minit ke-26 sekaligus menjadi jaringan pembukaan permainan.

Tersentak dengan jaringan Gakpo, Qatar menggandakan asakan dan mereka hampir menjaringkan gol penyamaan menerusi percubaan Ismail Mohamad namun rembatannya berjaya diselamatkan oleh Andries Noppert. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 1-0.

Memasuki separuh masa kedua, skuad bimbingan Louis van Gaal mengekalkan rentak permainan dan mereka berjaya menjaringkan gol kedua pasa minit ke-49 menerusi Frankie de Jong.

De Jong melakukan percubaan susulan selepas rembatan Memphis Depay berjaya diselamatkan oleh Barsham.

Belanda kemudiannya menjaringkan gol ketiga menerusi Steven Berghuis namun jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil selepas bola terkena tangan Gakpo.

Keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan Belanda mara ke peringkat 16 pasukan terakhir diikuti oleh Senegal yang menewaskan Ecuador dalam satu lagi perlawanan kumpulan A.