Hasrat skuad kebangsaan Belanda untuk mengutip 3 mata penuh dalam perlawanan kedua kumpulan A Piala Dunia 2022 tidak menjadi kenyataan apabila terikat 1-1 menentang Ecuador sebentar tadi.

Jurulatih skuad Oranje iaitu Louis van Gaal tidak menyenaraikan tonggak penyerang, Memphis Depay dalam kesebelasan kerana pemain tersebut belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Depay disisihkan hampir dua bulan dengan kecederaan peha sebelum dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika perlawanan pembukaan mereka menentang Senegal.

Manakala Ecuador mengambil risiko menurunkan Enner Valencia dalam kesebelasan utama walaupun kapten pasukan itu dilihat masih belum cergas sepenuhnya.

Bagaimanapun, Belanda terlebih dahulu membuka akaun jaringan seawal minit ke 6 menerusi rembatan Cody Gakpo dalam kawasan kotak penalti selepas menerima umpanan daripada Davy Klaassen.

https://twitter.com/UnitedKnights5/status/1596178581369278464?s=20&t=iNQHgvPyfTOwYQqNFULXSw

Tersentak dengan jaringan tersebut, Ecuador bangkit mengatur beberapa gerakan berbahaya namun mereka gagal menyudahkan beberapa peluang terhidang.

Malah, jaringan penyamaan Ecuador pada minit ke 45 turut dibatalkan oleh pengadil perlawanan kerana dikatakan berada dalam kedudukan ‘offside’. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh kedua, skuad kendalian Gustavo Alfaro itu bangkit dengan lebih garang dan kerap kali memberi tekanan kepada benteng pertahanan Belanda.

Usaha mereka mengandakan asakan akhirnya membuahkan hasil apabila Enner Valencia menjaringkan gol penyamaan selepas menolak masuk bola muntah yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Belanda, Andries Noppert pada minit ke 49.

Ecuador juga nyaris menjaringkan gol kedua pada minit ke 58 tetapi malangnya, rembatan Gonzalo Plata terkena palang walaupun penjaga gol lawan sudah tertewas.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh kedua-dua pasukan selepas jaringan penyamaan itu dan Ecuador terpaksa bermain dengan corak bertahan apabila Enner Valencia terpaksa dikeluarkan pada minit ke 90 akibat kecederaan.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan kedua-dua pasukan kini terikat 4 mata yang sama dalam kumpulan A. Hanya dua pasukan teratas dalam kumpulan sahaja akan mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia 2022.