Memulakan karier profesional bersama salah satu kelab besar di dunia tidak menjamin masa depan yang cerah. Itu yang berlaku kepada bekas wonderkid Barcelona, Bojan Krkić dimana beliau baru-baru ini mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak profesional.

Selepas beraksi dengan 9 kelab di usia 32 tahun, Bojan merasakan beliau sudah selesai dengan bola sepak dan mengumumkan persaraannya di laman media sosial miliknya.

“Selepas berkelana di pelbagai negara, saya kembali ke rumah untuk memberitahu mengenai satu keputusan yang sukar dan penting dalam hidup saya. Saya bersara dari dunia bola sepak profesional.

“Keputusan ini tidak mudah kerana saya berjauhan dengan keluarga selama lebih 12 tahun. Saya mahu berada dekat dengan keluarga saya. Jadi ianya bukan isu tentang keadaan fizikal saya.

“Saya mengalami tiga kecederaan, tetapi saya berjaya pulih. Itulah hakikatnya. Saya lebih tertarik untuk melakukan hal lain selain bola sepak. Saya bersyukur atas semua yang saya peroleh sebelum ini.

“Saya merasakan saya perlu memulakan sesuatu yang baharu. Saya akan terus tersenyum. Terima kasih,” katanya.

Kali terakhir Bojan Krkić beraksi di peringkat profesional ialah dalam saingan Liga Jepun bersama Vissel Kobe dimana beliau membuat 26 penampilan dan hanya mampu menjaringkan satu gol.

Bojan dicanang sebagai pemain muda yang akan menyinar di Barcelona setelah diberi peluang untuk tampil bersama skuad utama disamping pemain seperti Ronaldinho, Lionel Messi dan Samue Eto’o pada 2007.

Namun, graduan La Masia itu hanya bertahan selama tiga musim dimana beliau membuat 162 penampilan dan menjaringkan 41 gol sebelum berhijrah ke AS Roma.

Bojan Krkić kemudiannya berkelana dengan menyertai beberapa kelab seperti Ajax Amsterdam, Stoke City, Mainz 05, Alaves sebelum beraksi bersama Montreal Impact.

Meskipun banyak berhijrah, namun Bojan pernah memenangi beberapa gelaran besar seperti La Liga dan juga Eredivisie.