Bekas penyerang prolifik Felda United dan Kedah, Thiago Augusto Fernandez sah menjadi pemain naturalisasi skuad kebangsaan Bahrain dan sempat diturunkan pada perlawanan menentang Oman dalam Kejohanan Gulf of Nations Cup semalam.

Pemain yang berusia 29 tahun itu kini beraksi dengan kelab Al-Muharraq serta mempunyai rekod yang cemerlang dalam saingan Liga Malaysia musim 2017 dan 2018 dimana beliau menjaringkan 36 gol dalam 41 penampilan bersama Felda United.

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama beliau mewakili Bahrain kerana Thiago sebelum ini beraksi dalam temasya Military World Games di China dan berjaya membantu Bahrain memenangi pingat emas. Malah, beliau juga merupakan penjaring terbanyak dengan rekod 5 gol.

Thiago-Augusto-1-750×500
FOTO: Bahrain FA

“Saya rasa sungguh gembira dan pada masa yang sama, gementar. Ia merupakan tanggungjawab yang besar apabila mewakili sebuah negara tetapi saya sudah bersedia dan lebih yakin. Saya harap dapat menyumbangkan pengalaman yang ada dan bantu pasukan meraih kemenangan,” katanya seperti dipetik dalam portal sukan dari Brazil, 2lances.

Selain itu, Thiago juga berpeluang membuat penampilan pertama dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Kemboja pada bulan Mac tahun depan setelah mendapat lampu hijau daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Bahrain kini menghuni kedudukan kedua dalam kumpulan C dengan 9 mata dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 5 perlawanan setakat ini.

“Kami ada peluang yang cerah untuk beraksi dalam Piala Dunia kerana mempunyai barisan jurulatih berkualiti dan kami juga dibarisi oleh ramai pemain berpengalaman. Saya percaya, Bahrain akan mara dengan kerja yang keras dan penuh dedikasi,” katanya.

Pada tahun 2017 lalu, beliau pernah melahirkan hasrat untuk mewakili Malaysia dalam satu muat naik dalam laman instagramnya kerana mempunyai rasa cinta terhadap negara ini.

Thiago sebenarnya sudah lama beraksi di Malaysia. Beliau mula menjejakkan kaki di Malaysia pada tahun 2015 dengan menyertai Felda United. Jika cukup 5 tahun, sudah tentu Malaysia mungkin mempunyai pemain naturalisasi kedua di bahagian serangan selepas Mohamadou Sumareh.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak asia yang kami sediakan untuk anda.

Ketua Pasukan Brunei Dimasukkan Ke Hospital Kerana Alahan Terhadap Kacang

Vietnam Dijangka Kekal Sebagai Pasukan ASEAN Tunggal Dalam Senarai Top 100 Dunia FIFA Ranking

Thai League: DAZN Sedia Bida Hak Penyiaran Dengan Harga RM276 Juta Semusim Mulai 2021

Sumber