Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) hari ini mengumumkan kemasukan penyerang dari Colombia, Ayron Del Valle sebagai pemain import ketiga terbaru Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2023.

Pemain yang berusia 34 tahun ini memulakan kareer profesionalnya bersama Expreso Rojo sejak berusia 18 tahun, beliau telah beraksi di Liga Colombia selama 13 tahun sejak 2007 sehingga 2019.

Antara pencapaian terbaiknya adalah memegang takhta Penjaring Terbanyak Liga Dimayor selama tiga musim berturut-turut, 2014/2015 bersama Deportes Tolima sebanyak 30 gol, 2015/2016 bersama Alianza Petrol sebanyak 12 jaringan dan 2016/2017 bersama CD America de Cali dengan 11 jaringan gol.

Setakat ini, beliau telah menjaringkan 157 gol sepanjang kariernya, 140 gol di Liga Colombia dan 7 di Liga Mexico, 11 gol dalam saingan Piala (9 di Colombia dan 2 di Mexico) serta mencatatkan 4 jaringan di Piala Libertadores dan 2 di Conmebol Sudamericana.

Selain itu, Ayron pernah menjulang trofi juara dua kali di Liga Primera A pada tahun 2017 dan Superliga musim 2018. Ayron juga pernah meraih tempat kedua dalam Primera A pada tahun 2011 dan 2012, Copa Colombia pada tahun 2012 dan Cuadrangular Bogota pada tahun 2020.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, pengalaman Ayron akan membantu pasukan untuk mendapatkan keputusan yang terbaik musim ini.

β€œAyron merupakan seorang penyerang yang boleh menjaringkan gol dalam pelbagai situasi dan sudut. Dari segi pengalamannya di Liga Colombia, memang nampak beliau menyerlah. Kami berharap beliau dapat menggalas tanggungjawab sebagai penyudah yang terbaik untuk pasukan musim ini. Semoga beliau cepat menyesuaikan diri di sini dan dapat membantu pasukan dengan apa yang beliau miliki,” tambah Tan Cheng Hoe.

Sempat ditemubual, pemain berpengalaman ini mahu bantu pasukan mengharungi Liga Malaysia dengan pencapaian terbaik kelab.

“Pada awalnya saya tak pasti sama ada nak terima tawaran ini atau tidak tetapi sebaik sahaja saya lihat tentang Selangor FC, saya nampak ini merupakan peluang serta cabaran terbaik untuk saya harungi serta cuba membantu pasukan mendapatkan trofi musim ini. Saya juga sempat bercakap dengan pihak pengurusan dan jurulatih kelab ini sebelum membuat keputusan, saya merasakan rancangan mereka telah menarik minat saya untuk ke sini,” semangat Ayron.

Sebelum tamat temubual, beliau juga meninggalkan mesej kepada penyokong pasukan Selangor FC,

β€œSaya tidak sabar nak berjumpa dengan penyokong Gergasi Merah. Harapan saya adalah untuk membuat mereka gembira musim ini”, tambah beliau.

Ayron merupakan rekrut keenam yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Ruventhiran, Khuzaimi Piee, Faisal Halim, Noor Al-Rawabdeh dan Rauf Salifu sebelum ini.