Kelab gergasi Indonesia, Persija Jakarta hari ini mengumumkan jurulatih dari Itali, Angelo Alessio sebagai pengendali baharu kelab itu bagi menghadapi saingan Liga Indonesia musim ini.

Alessio merupakan antara nama besar dalam bola sepak eropah kerana beliau merupakan bekas pembantu Antonio Conte ketika menyertai kelab gergasi Itali, Juventus dan kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

Malah, beliau juga mempunyai pengalaman menjadi pembantu jurulatih skuad kebangsaan Itali pada tahun 2014 hingga 2016 bagi menghadapi saingan Euro.

Perlantikan Alessio diumumkan oleh Presiden Persija Jakarta, Mohamad Prapanca dalam satu temu bual khas. Alessio kini berada di Itali dan beliau akan membawa seorang pembantunya untuk mengendalikan kelab itu.

“Saya mengumumkan secara rasmi bahawa Ketua jurulatih Persija adalah Angelo Alessio. Kami ingin program jangka panjang dan Angelo adalah orang yang tepat untuk kami,” kata Prapanca.

“Saya membawa pengalaman dan pengetahuan yang saya dapat ketika melatih di Eropah ke Persija. Kita tetap bekerja keras lagi agar dapat mencapai apa yang kita sasarkan” kata Angelo Alessio melalui video promosi.

Pada musim 2019, Alessio menjadi pengurus kelab Scotland, Kilmarnock FC selama 6 bulan sebelum dipecat pada Disember 2019 kerana gagal membawa kelab itu mara ke Europa League dan kedudukan teratas liga Scotland.

Bagaimanapun, jurulatih yang berusia 56 tahun itu tetap mempunyai reputasi hebat dalam karier jurulatihnya kerana pernah menjuarai EPL dan Piala FA bersama Chelsea serta juara Serie A sebanyak 3 kali ketika bersama Juventus.

Peminat Persija Jakarta turut meletak harapan tinggi kepada Alessio untuk membawa kelab mereka berada di kedudukan teratas Liga Indonesia dan layak ke AFC Champions League pada tahun yang akan datang.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

5 Jurulatih Piala Dunia Yang Tunduk Kepada Park Hang-seo

Peminat Bola Sepak Singapura Tidak Setuju Dengan Kemasukan JDT III Dalam Liga SPL

Bert van Marwijk Mahu Pemain Kekalkan Prestasi, Sasar Tewaskam Indonesia