Selangor TOT United semakin giat memperkuatkan pasukan dengan membawa masuk pemain import, Pukhan Dongdang yang merupakan bekas pemain skuad kebangsaan Thailand.

Dongdang merupakan salah seorang pemain daripada skuad Thailand yang berjaya menjuarai Kejuaraan Futsal AFF 2016 di Bangkok.

Di pentas domestik pula beliau beraksi bersama DPU Town FC yang merupakan salah sebuah kelab dalam saingan divisyen dua, Kejuaraan Futsal Thailand.

Pengumuman rasmi dibuat kelab tersebut sebentar tadi menyaksikan Selangor TOT menggunakan sebaiknya peluang diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kebenaran penggunaan dua pemain import yang mana salah seorangnya merupakan kuota Asia.

Sebelum ini, pemenang tempat ketiga Piala Futsal Malaysia 2022 itu mengesahkan kehadiran pemain import dari Brazil, Raimundo Helio Carneiro Neto.

Dengan kehadiran dua pemain import, ia jelas dapat meningkatkan lagi kualiti saingan liga serta dapat menambah kehangatan kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim ini.

Sama seperti Neto, Dongdang juga bukanlah asing buat pengendali baharu Selangor TOT United, Patt Sriwijit kerana pemain tersebut pernah bersama Bluewave Chonburi.

Sehubungan dengan itu, Patt sudah pasti amat mengetahui tentang kemampuan pemain berusia 32 tahun tersebut dalam usaha beliau untuk menambah kekuatan Selangor TOT United.

Pada awalnya, saingan MPFL 2023 dijadualkan bermula pada 11 Februari dengan penglibatan 18 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Namun, dengan spekulasi yang kian hangat kedengaran mengenai beberapa pasukan dijangka akan menarik diri daripada persaingan, masih belum dapat dipastikan sama ada format tersebut akan terus digunakan.

Difahamkan selain daripada Selangor TOT United, beberapa pasukan lagi turut akan menggunakan khidmat pemain import seperti Selangor MAC, Johor Darul Ta’zim (JDT), Pulau Pinang, Pahang Rangers, KPT-PST Mustangs dan Terengganu.