Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini buat pertama kalinya mengadakan sesi perjumpaan khas bersama bekas pemain kebangsaan untuk mendapatkan buah fikiran dalam usaha menaikkan lagi prestasi dan mutu bola sepak negara di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Menurut kenyataan daripada laman facebook rasmi FAM, antara bekas pemain yang diundang ialah Datuk Santokh Sigh, Dato’ Soh Chin Aun, Datuk Hassan Sani, Dato’ Jamal Nasir, Zainal Abidin Hassan, Khalid Ali, Azman Adnan, K Gunalan, Malek Rahman, Stanley Bernard, Hasnizam Uzir dan Asmawi Bakiri.

Mereka diberi peluang untuk melontarkan pandangan masing-masing dihadapan Presiden FAM sendiri iaitu Datuk Haji Hamidin Mohd Amin.

73079634_2483635795066503_2977326627291136000_n
FOTO: FAM

“Sesi ini membuka ruang untuk setiap bekas pemain yang hadir menyuarakan pandangan secara telus dan terbuka dalam usaha bersama memajukan serta memperbaiki lagi prestasi skuad bola sepak kebangsaan.

“Perbincangan bersama bekas pemain seumpama ini adalah yang pertama kali diadakan, hasilnya sangat bernas dan kami akan mengguna pakai pandangan mereka untuk memperbaiki lagi skuad kebangsaan,” kata Datuk Haji Hamidin.

Datuk Santokh Sigh, berkata inisiatif Datuk Haji Hamidin berjumpa dengan bekas pemain kebangsaan adalah terbaik dan bagus untuk pembangunan bola sepak.

“Pengalaman kami selaku orang lama dalam bola sepak kini didengar demi bola sepak negara, terima kasih Datuk Presiden.

“Setiap dari kami melontarkan idea secara telus sebentar tadi. Namun bagi pendapat saya, kita perlukan ‘back-up’ team untuk memastikan kelangsungan pemain setiap kali perlawanan, contohnya team A dan team B yang dua-dua sama kuat.

“Itu bermaksud kita tidak perlu risau andai kata ada pemain cedera, sebagai contoh jika Azam Azih cedera kita terus ada seorang lagi pemain miripnya sebagai ganti tanpa membuang masa,” katanya.

74907697_2483636355066447_6616234370292252672_n
FOTO: FAM

Dato’ Soh Chin Aun pula berkata, semua yang hadir pada hari ini ialah pemain bola sepak terbaik suatu ketika dulu mengikut generasi peredaran zaman.

“Hari ini kita bukan sahaja dapat ‘reunion’ malah sama-sama dapat berdebat, berbincang memberi pandangan masing-masing kerana bola sepak ini terutama peraturannya sering berubah mengikut peredaran zaman, maka untuk dibandingkan cara kami dahulu dan sekarang lain.

“Maka kami berbesar hari kerana diberi peluang membantu pasukan kebangsaan dari segi memberi pendapat dan idea terbaik untuk skuad kebangsaan.

“Setiap dari kami tadi mempunyai pandangan berbeza. Cuma bagi saya kita tidak jauh beza dengan Thailand dan Vietnam, yang mana standard pemain kita mampu setara dengan mereka cuba perlu baiki lagi.

Sementara itu, Datuk Hassan Sani berkata jemputan julung kali seumpama ini bagus dalam usaha membincangkan lagi medium terbaik demi kejayaan konsisten pasukan kebangsaan.

“Masing-masing beri pandangan yang baik sebentar tadi. Namun bagi saya apa yang penting bagi kami ialah pemain itu sendiri perlu menyarungkan jersi Harimau Malaya benar-benar demi negara. Jadi pemain yang ada sekarang ini… Mainlah demi negara, fokus dan anda perlu berani.

“Skuad kebangsaan kita sebenarnya ada peningkatan daripada Thailand, Vietnam dan Singapura, kita cuma perlu fokus untuk konsisten.

“Zaman kami dahulu bukan mudah untuk bermain dalam skuad kebangsaan, jadi kami main betul-betul untuk negara, sanggup mati dan lakukan apa sahaja. Pemain juga perlu lebih cergas dan disiplin,” katanya yang pernah mendapat jolokan ‘lipas kudung’ negara kerana ketangkasannya di padang.

Mungkin anda terlepas pandang membaca artikel menarik yang berkaitan dengan FAM melalui pautan dibawah.

Anugerah Gangsa Dream Asia AFC Bangkitkan Semangat FAM Perkasa Program Akar Umbi

FAM Risau Padang Stadium Nasional Bukit Jalil Rosak Teruk Selepas Final Piala Malaysia

Subkhiddin Puji Tindakan FAM Guna Pengadil Tempatan Kendalikan Final Piala Malaysia