Pasukan Perak sah tersingkir ke saingan Liga Premier musim hadapan ketika meraikan 100 tahun penubuhan kelab setelah tewas pada perlawanan Liga Super menentang Melaka United semalam.

Jaringan Sony Norde pada minit ke-79 nyata mematahkan hati penyokong Perak dimana Melaka berjaya meraih tiga mata sekaligus memastikan kedudukan mereka dalam saingan Liga Super musim hadapan dan menghumban Perak ke Liga Premier musim hadapan.

Tersingkirnya Perak ke divisyen kedua ini nyata sukar diterima oleh peminat dan juga bekas pemain pasukan itu dimana dua pemain iaitu Ahmad Khairil Anuar dan Azmeer Yusof yang pernah menabur bakti bersama Perak meluahkan rasa sedih mereka di laman media sosial.

Khairil Anuar atau Beto yang kini beraksi bersama Petaling Jaya City FC menganggap semalam merupakan malam paling sedih memandangkan kelab yang membesarkan namanya harus menerima hakikat pahit dengan tersingkir dari divisyen utama.

Seorang lagi pemai iaitu Azmeer Yusof yang pernah beraksi pada musim 2010-2011 dan 2014-2015 turut meluahkan kesedihan beliau sambil menegaskan semua pihak perlu melupakan apa yang telah terjadi dan memberikan sepenuh fokus bagi saingan musim 2022.

Selain Perak, satu lagi pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Premier musim hadapan ialah UiTM FC yang ketika ini menduduki tangga tercorot dengan kutipan 9 mata. UiTM masih berpeluang untuk memintas Perak kerana mereka masih lagi mempunyai baki dua perlawanan iaitu menentang Kedah dan Sri Pahang manakala Perak bakal berdepan Sabah pada perlawanan terakhir liga.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Liga Super 2021: Melaka United Humban Perak Ke Liga Premier

Shazwan Wong Berkongsi Tips Bagaimana Pasukan Perak Mampu Menjana Pendapatan RM391,000 Sebulan

MFL Cadang SOP Kebenaran Penyokong Kembali Ke Stadium