Pemain sayap lincah skuad kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani kini merupakan suspek jenayah apabila didakwa membelasah orang awam sehingga cedera parah di bahagian kepala dan bibir.

Saddil melakukan kesalahan itu di Kota Kendari pada hari Jumaat lepas (27 Mac 2020) ke atas seorang lelaki yang berusia 25 tahun dan kini sedang disiasat oleh pihak polis setelah ahli keluarga mangsa membuat laporan rasmi.

Jika terbukti bersalah, Saddil yang beraksi dengan pasukan Pahang pada musim lepas akan dijatuhkan hukuman penjara selama 7 tahun menurut undang-undang Indonesia sehingga terpaksa melupakan kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional.

Ketua Polis Kendari, Muhammad Sofyan Rosyidi mengesahkan perkembangan itu dan mengumumkan nama pemain yang berusia 21 tahun itu sebagai seorang suspek utama.

“Saddil kini merupakan suspek jenayah dalam kes ini setelah kami melakukan pelbagai siasatan. Beliau sudah disoal siasat sebanyak dua kali. Kami turut menyoal siasat mangsa dan sekitar 4 atau 5 saksi juga dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Jika terbukti bersalah, Saddil boleh dikenakan hukuman penjara selama 7 tahun menurut akta 351 dalam undang-undang Indonesia,” kata Sofyan dipetik dalam kompas. 

Pada musim ini, Saddil menyertai kelab Bhayangkara FC dalam saingan Liga 1 Indonesia. Bagaimanapun, beliau juga mungkin akan ditamatkan kontrak lebih awal jika dijatuhkan hukuman berat oleh pihak polis dan mahkamah.

“Kami menyerahkan proses hukuman ini kepada Polis Kendari. Kami tunggu laporan hasil penyiasatan pihak berkuasa sebelum membuat keputusan mengenai masa depan Saddil,” kata pengurusan Bhayangkara FC, I Nyoman Yogi Hermawan.

Saddil Ramdani tampil jelaskan kisah sebenar

Setelah berdiam diri dan mengelakkan daripada bertemu pihak media, Saddil akhirnya membuka mulut menceritakan kisah sebenar kenapa beliau terpaksa membelasah seorang lelaki yang bernama Irwan.

Katanya, beliau terpaksa bertindak demikian kerana tidak tahan dengan tindakan Irwan dan kawannya mengejek ibunya.

“Cerita sebenarnya, mereka (Irwan) dan rakan-rakan sedang minum di belakang rumah dalam keadaan mabuk sambil menyanyikan lagu kematian yang menyinggung mak saya,” katanya.

Ketika itu, ibu Saddil sempat menegur Irwan dengan melarangnya untuk minum di belakang rumah, namun tidak dihiraukan. Mereka juga mengeluarkan kata-kata keji dan berbaur carutan sehingga membangkitkan kemarahan Saddil.

“Mereka melawan katanya apa urusannya kalian kami mabuk di sini, ini hak kami apa urusan denganmu orang tua, nah mak saya dihina. Setiap minggu mereka berada di belakang rumah dan membuat bising.

“Tiba-tiba salah seorang rakan minum Irwan mengamuk dan memaki mak saya dengan bahasa yang kurang ajar seperti anj*** b*** orang tua anj***,” katanya.

Biarpun kini berdepan pelbagai tuduhan jenayah, Saddil tetap berjanji akan bertanggungjawab atas tindakannya. Beliau juga tidak peduli dengan nama besarnya sebagai bintang bola sepak Indonesia.

“Saya sudah berbuat, biar saya tanggung jawab. Biar mereka tidak ganggu lagi mak saya. Nama besarku tidak penting bahkan tidak ada gunanya jika dibandingkan dengan harga diri keluarga dan mak sendiri,” ungkapnya.

Saddil sebelum ini pernah berdepan kes di mahkamah apabila didakwa memukul bekas tunangnya di muka.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Saddil Ramdani melalui pautan dibawah.

Soal Saddil Ramdani, Ketum PSSI Tegaskan Tak Ada Warga Negara Yang Kebal Hukum

Kelab Jupiler Pro League Berminat Dapatkan Khidmat Saddil Ramdani?