Bekas pemain skuad Piala Presiden Pahang yang kini merupakan anggota polis, Norhalim Tumiran dilaporkan telah meninggal dunia akibat kesan tembakan di kepala semalam.

Menurut laporan media, kejadian itu berlaku di rumah sewa rakannya di Sibu, Sarawak kira-kira pukul 7 malam. Difahamkan, dua anggota polis yang lain turut berada di rumah tersebut dan disyaki ditembak oleh rakannya sendiri.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan perkembangan itu dan menjelaskan Norhalim bertugas di Unit Ronda Bermotorsikal (URB) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

“Kami dimaklumkan seorang anggota polis ditemui mati dengan kesan tembakan di bahagian atas telinga kanan (kepala) dan masih terduduk di atas sofa dalam rumah,” katanya,

“Sebelum kejadian, mangsa datang ke rumah sewa untuk bermain game iaitu sebelum waktu berbuka puasa,” jelas Stanley lagi.

12509331_989708111089821_3687167026837895773_n

Norhalim sebelum ini merupakan seorang pemain bola sepak untuk skuad Piala Presiden Pahang pada musim 2015 hingga 2016 bersama beberapa pemain lain yang kini beraksi di Liga Super iaitu Nik Sharif Haseefy, Shahrul Nizam, Nur Izzat dan Zuhair Aizat.

Beliau turut mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Bola Sepak Rakyat sebelum mengambil keputusan untuk menyertai polis dan baru ditugaskan di Sibu selepas tamat latihan asas konstabel selama 6 bulan.

Arwah turut meninggalkan isteri dan seorang anak berusia setahun. Kesnya masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

VocketFC ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan roh Allahyarham Norhalim ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Shahrel Fikri Alami Kecederaan “Fibula Fracture“, Bakal Terlepas Aksi Kelayakan Piala Dunia

CEO Berjaya Corporation Antara 9 Individu Yang Dipilih Menganggotai Pasukan Petugas Khas Presiden FAM

Manuel Hidalgo Gembira Dapat Bermain Bersama Sri Pahang