Kelab Liga Premier Hong Kong, KC Southern FC hari ini mengumumkan bekas pemain Fulham FC dan Pahang, Zesh Rehman sebagai pengendali baharu pada musim ini.

Ini merupakan kelab pertama beliau sebagai jurulatih setelah bergelar pemain profesional selama lebih 15 tahun. Rehman menyertai KC Southern FC sejak tahun 2017.

Sepanjang beraksi dengan kelab itu, beliau sempat mengikuti kursus kejurulatihan selama 4 tahun sehingga memiliki lesen UEFA Pro.

Pengalaman luasnya dalam Liga Hong Kong sejak beraksi dengan Kitchee FC pada tahun 2012 memberi kelebihan kepadanya untuk dilantik sebagai pengendali KC Southern FC.

“Saya menghargai kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh Presiden, Naib Presiden dan Pengerusi kelab. Saya tidak sabar menghadapi cabaran yang seterusnya.

“Wabak pandemik Coronavirus telah mengubah dinamik permainan dari seluruh dunia, namun ini merupakan peluang untuk saya memimpin sebuah kelab yang hebat,” katanya melalui laman twitter rasmi.

Saingan Liga Hong Kong dijangka akan kembali semula pada bulan Ogos ini dengan 7 pasukan sahaja. 3 lagi kelab menarik diri kerana berdepan pelbagai masalah dari segi kewangan sejak penularan wabak COVID-19.

Rehman yang pernah membantu skuad Tok Gajah menjuarai Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2014 itu pernah menyatakan hasrat untuk kembali ke Pahang sebagai jurulatih satu hari nanti.

Beliau turut mengakui pada awal musim ketika mula-mula menyertai Tok Gajah, dia menerima tawaran untuk menjadi sebahagian dari barisan kejurulatihan Pahang namun menolaknya kerana merasakan bukan waktu yang sesuai untuk dirinya menerima tawaran tersebut.

fc_rehman_jc_1296x729
FOTO: ESPN FC

“Saya akan kembali dalam barisan jurulatih seperti yang ditawarkan pada awal musim ketika menyertai Pahang tetapi ini bukan masanya.

“Saya akan kembali melawat tempat lahir anak saya, Kuantan satu hari nanti.

“Pahang memiliki penyokong terbaik di Malaysia dan ini pasukan terbaik yang pernah saya beraksi. Saya meninggalkan pasukan ini dengan penuh kebanggaan, memori yang manis serta persahabatan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan di duniasukan.com.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

COVID-19: Tiga Kelab Umum Tarik Diri, Liga Hong Kong Kini Hanya Tinggal Tujuh Pasukan

Ho Chi Minh City FC Mahu Gandingkan Anak Rivaldo Dengan Nguyen Cong Phuong, Atur Tawaran Kedua

Iran Negara Keempat Hantar Permohonan Rasmi Bida Hak Tuan Rumah Piala Asia 2027