Pasukan Melaka United masih belum melunaskan gaji pemain dimana salah seorang bekas pemain pasukan itu mendedahkan Melaka masih lagi berhutang enam bulan gaji kepada pemain mereka.

Pemain yang dimaksudkan ialah Syukri Baharun dimana beliau menggunakan sosial media Instagram miliknya dengan bertanya kepada pihak kepada pengurusan bila tunggakan gaji pemain boleh dibayar.

“Sampai bila kami nak kena tunggu? Steady pasukan Melaka masih boleh main Liga M3 sedangkan terang-terang ada tunggakan gaji enam bulan. Apa la cable yang mereka pakai. Senang saja mereka lepas. Langsung tidak fikir mengenai nasib pemain-pemain yang kena hadap komitmen. Mereka anggap kami macam tiada ibu bapa, isteri dan anak-anak.

“Bukti 70/30 pun tak boleh pakai. Masing-masing nak lepas tangan, yang teraniaya pemain sendiri. Kalau ditanya senang, jawapan mereka kita tiada kena mengena dalam hal ini,” kata Syukri.

Sebelum ini, rakan sepasukan Syukri iaitu Syazwan Andik mendedahkan Melaka United sudah lima bulan tidak menerima sebarang gaji dan mereka mahukan jawapan dari pihak pengurusan pasukan.

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Syazwan Andik mendedahkan beliau ada menghubungi pemilik Melaka United, Datuk Seri Justin Lim namun usaha itu menemui kegagalan.

“Bila kami mesej tidak dibalas. Hanya dibaca sahaja. Bila kami hubungi tidak dijawap. Hanya diam sahaja pemilik Melaka ni. Bila tanya Melaka United Soccer Association (MUSA) mereka cakap sudah tiada kena mengena.

“Sudah lima bulan kami tidak bergaji. Komitmen banyak tertunggak. Pihak bank hubungi hari-hari. Nak sara keluarga lagi. Nak minta tolong siapa lagi?,” katanya.

Isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan menjadi punca utama mereka disingkirkan dari beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB), telah bermesyuarat dan membuat keputusan bahawa rayuan kelab Melaka United dan Sarawak United FC untuk memohon Lesen Kebangsaan ditolak.

Menurut kenyataan rasmi, AB telah mempertimbangkan rayuan MUFC dan SUFC berikutan keputusan First Instance Body (FIB) yang telah menolak permohonan Lesen Kebangsaan bagi kitaran 2022 pada 12 Oktober 2022 selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2022.