Bekas pemain pertahanan Liverpool, Aly Cissokho dilaporkan semakin hampir untuk menyertai kelab yang baru dipromosikan ke saingan Thai League 2, Lamphun Warrior.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan yang memfokuskan kepada saingan bola sepak Thailand di laman media sosial Twitter iaitu Paul Murphy dimana selain Cissokho, Lamphun dilaporkan turut tertarik untuk mengambil khidmat seorang lagi pemain berprofil tinggi dari Eropah.

Cissokho beraksi selama satu musim bersama Liverpool ketika di bawah bimbingan Brendan Rodgers pada musim 2013/2014. Pemain skuad kebangsaan Perancis itu menyertai The Reds secara pinjaman dari Valencia.

Namun, Aly Cissokho gagal untuk menampilkan kemampuan sebenar beliau dimana sering ditimpa kecederaan selain pengurus lebih gemar menggunakan pemain lain bagi mengisi posisi pertahanan kiri.

Lamphun merupakan juara saingan Thai League 3 musim 2020/2021 sekaligus mendapat tempat dalam saingan divisyen kedua iaitu Thai League 2 musim hadapan.

Sebelum ini, Lamphun dikhabarkan mahu membawa masuk khidmat bekas pemain sayap Chelsea, Salomon Kalou namun permintaan gaji yang terlalu tinggi menyebabkan kelab itu membatalkan hasrat tersebut.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia Tenggara di sini:

Bekas ‘Wonderkid’ Barcelona, Bojan Krkić Adakan Perbincangan Dengan Kelab Thailand

Portal Sukan Bahrain Ini Dedahkan Habib Haroon Bakal Sertai Terengganu?

FA Thailand Sahkan Theerathon Bunmathan Tidak Akan Sertai Baki Kempen Pusingan Kelayakan Di Dubai