Bekas penyerang import pasukan PKNS FC, Rafael Ramazotti de Quadros kembali meneruskan karier beliau di rantau Asia apabila sah menyertai kelab yang beraksi dalam saingan K-League, Daejeon Citizen bagi menghadapi baki saingan musim 2019.

Perpindahan Rafael ke Daejeon disahkan oleh laman berita yang membawakan perkembangan Liga Korea di Twitter, @KORFootballNews hari ini dimana Daejeon menjadi kelab ke-17 yang diwakili oleh Rafael sepanjang karier profesional beliau setakat ini.

Ramazotti mula beraksi di Asia pada 2011 dimana beliau menyertai Avispa Fukuoka secara pinjaman daripada Gil Vicente. Penyerang berusia 30 tahun ini kembali ke Jepun dengan menyertai Gainare Tottori pada 2014 setelah kembali beraksi di Brazil selama tiga musim sebelumnya.

Pada 2015, Rafael menyertai DPMM FC dimana beliau membantu kelab tersebut muncul juara saingan Singapore S.League sekaligus menjadi penjaring terbanyak Liga dengan 21 gol. Musim berikutnya, Rafael sekali lagi muncul sebagai penjaring terbanyak namun DPMM hanya mampu menamatkan saingan Liga di tangga ketiga.

Rafael Ramazotti
Aksi Ramazotti ketika bersama PKNS FC.
Sumber Gambar: BH

Pada saingan musim 2018 Rafael Ramazotti menyertai PKNS FC. Namun, jumlah jaringan yang dijaringkan oleh Rafael tidak seperti yang diharapkan apabila beliau hanya mampu menjaringkan 7 gol dalam saingan Liga Super. PKNS mengambil keputusan untuk melepaskan Ramazotti dan pemain itu kemudiannya menyertai Hougang United pada awal tahun ini sebelum meninggalkan pasukan itu bagi menyertai kelab Mexico, Juarez, 23 hari selepas menandatangani kontrak bersama Hougang.

Selain menandatangani Ramazotti, Daejeon turut membawa masuk khidmat pemain tengah, Matheus Pato daripada kelab Brazil, Fluminense.