Skuad Tok Gajah dilaporkan bakal mendapatkan khidmat jurulatih baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan. Difahamkan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) kini lebih berminat untuk mendapatkan jurulatih import menggantikan tempat Dollah Salleh.

Antara nama yang dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih pasukan tersebut ialah bekas pemain skuad Piala Dunia Amerika Syarikat (USA) kelahiran Jerman iaitu Thomas Dooley.

Perkembangan itu didedahkan oleh pengulas Astro Arena, Hafizal Hamad melalui laman twitter miliknya.

Nama Thomas Dooley cukup terkenal pada era 90-an kerana ketika zamannya sebagai pemain, beliau merupakan kapten skuad Piala Dunia USA pada tahun 1994 dan 1998. Malah, beliau juga pernah membantu USA raih gelaran naib juara CONCACAF Gold Cup pada tahun 1993 dan 1998.

Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman beraksi dengan beberapa kelab terkemuka di Jerman iaitu Bayer Leverkusen dan Schalke 04. Lebih menarik, beliau pernah dilantik sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan USA pada tahun 2011 hingga 2012.

Dooley juga bukanlah asing bagi peminat bola sepak Asia Tenggara kerana sebelum ini beliau pernah menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Filipina pada tahun 2014 hingga 2018.

Selepas kontraknya di Filipina ditamatkan, Dooley kemudian dilantik sebagai pengarah teknikal kelab Viettel FC yang merupakan juara Liga Vietnam 1 dan berjaya meraih tiket ke peringkat kumpulan AFC Champions League 2021.

Selain Thomas Dooley, Pahang turut menerima permohonan daripada beberapa jurulatih lain iaitu Eduardo Almeida (Semen Padang), Risto Vidakovic (Ceres Negros) and Milomir Seslija (Arema FC).

Musim ini, Dollah Salleh membimbing Pahang menamatkan saingan Liga Super musim 2020 di tangga ke-8 meskipun kehilangan beberapa tonggak penting seperti Matthew Davies yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Mohamadou Sumareh yang berhijrah ke Thailand dengan menyertai Police Tero FC.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

B.Satianathan Dilantik Sebagai Pengarah Teknikal Sarawak United

Pemain Tengah Switzerland, Oliver Buff Dikaitkan Dengan Selangor

FAM Hantar Tiga Pengadil Tempatan Mengendalikan Perlawanan Liga Maldives