Skuad Vietnam bawah 22 tahun (B-22) kali ini hadir dengan barisan kejurulatihan baharu sejak ketiadaan Park Hang Seo yang telah menamatkan kontraknya bulan lalu.

Ada satu nama yang cukup dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tempatan iaitu Christophe Gamel yang kini berada dalam barisan jurulatih skuad kebangsaan Vietnam.

Gamel merupakan bekas ketua jurulatih Sri Pahang dalam saingan Liga Super musim lepas dan beliau ditugaskan untuk membantu ketua jurulatih Vietnam, Phillipe Troussier dalam misi pertahan pingat emas Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Menurut laporan media Vietnam, Gamel masih dalam proses percubaan dan belum dilantik sebagai pembantu jurulatih secara rasmi.

Kehadiran Gamel sudah tentu akan memberi kelebihan kepada Vietnam apatah lagi beliau sangat mengenali corak permainan pemain Malaysia.

Skuad Malaysia B-22 kendalian E. Elavarasan dijadualkan menentang Vietnam pada 8 Mei sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Singapura B-22 (11 Mei).

Gamel yang memiliki lesen kejurulatihan UEFA Pro mempunyai pengalaman melatih pasukan kebangsaan Qatar B-19 dan juga kelab Perancis, CS Meaux B-19 selain menjadi pengendali pasukan kebangsaan Fiji selama 4 tahun.

Christophe Gamel kini pembantu Phillipe Troussier

Bola sepak asia bukanlah asing bagi beliau kerana pernah menjadi pembantu jurulatih kelab Qatar, Al-Rayyan SC sehingga muncul sebagai juara Piala Qatar Emir dan juara Piala Putera Raja Qatar pada musim 2010 hingga 2012.

Ketika bersama Sri Pahang pada musim 2021, beliau turut melatih pasukan Piala Presiden sebelum dinaikkan pangkat ganti tempat Thomas Dooley.

Bagaimanapun, rekod beliau bersama Tok Gajah pada musim lepas tidak begitu memuaskan. Sepanjang dibawah bimbingannya, Sri Pahang gagal mempamerkan prestasi seperti yang diharapkan apabila hanya mencatat 2 kemenangan dalam 11 perlawanan Liga Super.

Walaupun sudah melakukan perubahan dari segi pertukaran pemain import pada jendela perpindahan kedua, Sri Pahang masih lagi kempunan mengutip sebarang mata apabila tewas dalam 3 perlawanan berturut-turut.