Hangat dibangkitkan isu panas baru-baru ini, bekas pemain bolasepak yang juga penyerang ternama negara suatu ketika dahulu, saudara Khalid Jamlus terpaksa melelong ‘Golden Boot’ beliau pada harga RM10,500 untuk menampung kehidupan beliau selepas persaraan yang terjejas teruk terutama akibat Covid-19. Perkara ini bukanlah perkara asing, kerana saban tahun kita mendengar masalah yang sama berlaku baik buat bekas atlet dalam mahupun luar negara.

Bekas pemain bolasepak ternama seperti David James (bekas penjaga gol England) dan bintang bolasepak terkenal dunia, Ronaldinho, turut terpalit dengan masalah yang sama. Kemasyhuran dan kemewahan yang dikecap sepanjang bergelar atlet profesional malangnya tidak berkekalan apabila masing-masing diisytiharkan muflis, hanya beberapa tahun selepas tamat kerjaya mereka di atas padang.

Persoalannya, bagaimana hal ini boleh terjadi? #FinancialGory sempat membuat sedikit ulasan hasil dapatan daripada pemerhatian melalui inisiatif #FinancialxFootball, sebuah inisiatif untuk membantu industri sukan bolasepak menjadi lebih sustainable dari segi kewangan.

Industri sukan tempatan mahupun antarabangsa, tidak lari daripada dibelenggu masalah yang sama, masalah yang akhirnya menggugat masa depan ahli sukan yang berbakat dan disegani pada era kegemilangan mereka.

1. Inflasi Gaya Hidup

Industri sukan yang dipelopori pemain muda seawal usia 16 tahun menjadi atlet professional dan dijanjikan bayaran gaji dan pendapatan yang tinggi sememangnya menawarkan gaya hidup yang mewah buat mereka. Lumrah anak muda sememangnya sukakan kemewahan, memegang duit yang banyak pada usia muda malangnya menghambat para atlet untuk terikut-ikut dengan the shiny world, dunia yang berkilauan emas.

Budaya berkereta mahal, memakai aksesori berjenama, dan gaya hidup bermewah-
mewahan malangnya tidak akan kekal lama. Apabila bayaran gaji tidak lagi setinggi semasa berada di puncak kerjaya dan kos untuk mengekalkan gaya hidup yang mewah tadi kekal tinggi, maka terjadilah ketidakseimbangan untuk menguruskan kewangan mereka.

2. Jangka Hayat Kerjaya Yang Pendek

Berbanding kerjaya ‘kolar putih’ seperti bidang profesional (kedoktoran, kejuruteraan, undang-undang) yang biasanya bermula selepas tamat pengajian universiti, industri sukan pula lazimnya menawarkan peluang pekerjaan yang lebih awal. Untuk bidang profesional, graduan yang menamatkan pengajian seawal usia 23-25 akan memulakan kerjaya mereka, dan akan bersara selepas 35-40 tahun sekitar usia 55-60 tahun.

Untuk industri sukan pula, atlet memulakan kerjaya seawal usia 16 tahun dan berbanding dengan kerjaya ‘kolar putih’ tadi, kerjaya dalam profesion sukan biasanya hanya bertahan sekitar 15-20 tahun sahaja paling lama. Persaraan awal pula menanti jika berlaku perkara diluar jangka seperti kecederaan dan prestasi yang merudum. Tanpa pengurusan dan perancangan kewangan yang baik, pendapatan sepanjang 20 tahun tadi tidak akan dapat menampung kehidupan selepas persaraan.

3. Perancangan Kewangan Yang Buruk

Disebabkan usia yang terlalu awal memulakan kerjaya, atlet profesional juga terdedah kepada duit yang terlalu banyak pada usia yang terlalu muda. Masalah too young to rich, too old to poor menanti sekiranya pendedahan awal terhadap pengurusan kewangan yang baik tidak diberikan sebaik mereka menerima gaji yang awal tadi.

Acapkali berlaku situasi di mana wang persaraan habis terlalu awal serta keputusan pelaburan dan perniagaan yang dibuat, akhirnya tidak memberi pulangan yang diharapkan. Masalah-masalah ini berlaku kebiasaannya disebabkan oleh tiada pengetahuan yang baik tentang pengurusan kewangan, pelaburan, dan perniagaan yang dibuat. Percaya kepada ejen, akhirnya ejen cabut lari.

Brad Friedel ‘melabur’ dengan penuh semangat untuk sebuah akademi bolasepak di Amerika Syarikat, hanya untuk melihat ianya gagal dan menghimpit beliau dengan hutang yang menggunung.

4. Ketagihan

Masalah ketagihan juga adalah antara faktor utama kepada masalah kewangan yang malangnya jarang untuk diperakui dalam kalangan atlet, sehinggalah nasi sudah menjadi bubur. Ketagihan seperti alkohol, perjudian, dadah, dan rokok menyebabkan perbelanjaan yang tinggi ditanggung untuk menampung gaya hidup yang tidak sihat ini.

Keith Gillespie (perjudian) dan Diego Maradona (dadah) menjadi contoh ketagihan yang akhirnya memakan diri mereka.

Jadi, apa yang boleh atlet semasa lakukan untuk menyediakan perancangan yang lebih baik bagi masa depan mereka?

Nantikan kupasan lanjut dalam Siri II: Bekas Atlet Lelong Memoribilia.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami  sediakan untuk anda.

Khalid Jamlus ‘Tolak’ Kasut Emas Pada Harga RM10,100 Melalui Bidaan LIVE Facebook

Bekas Penjaga Gol Selangor, Jamsari Sabian Mahu ‘Let Go’ Medal Juara Liga Premier, Piala FA, Dan Piala Malaysia 2005

“Macam Mana You Want To Be A Good Striker, Benda Tu Ada Dekat Saya. Takkan Nak Pergi Ajar Tukang Kebun Kan?”