Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mendedahkan beberapa negara yang dijemput untuk mengadakan perlawanan persahabatan terpaksa menolak permintaan tersebut ekoran penularan wabak Coronavirus (Covid -19).

Ketika ini, Malaysia mencatat 99 kes Covid-19 dan merupakan negara kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Singapura sekali gus menyukarkan peluang untuk mengadakan aksi persahabatan di sini.

Bagaimanapun, FAM tidak boleh menghantar skuad Harimau Malaya ke luar negara kerana tahap kesihatan dan keselamatan pemain menjadi keutamaan badan induk itu.

“Keselamatan pemain dan pegawai pasukan adalah keutamaan menyebabkan kita tidak akan mengadakan perlawanan persahabatan di negara lain.

“Saya sudah menghantar surat jemputan ke beberapa negara, namun setakat ini maklum balas yang diterima adalah mereka tidak mahu menanggung risiko akibat penularan wabak Covid-19.

“Ada antara negara berkenaan menganggap negara kita sebagai zon merah dan tidak boleh dikunjungi atas faktor keselamatan,” katanya kepada Arena Metro.

Kelayakan
Sumber Gambar: FAM

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini memberi bayangan semua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadualkan pada 26 dan 31 Mac ini kemungkinan ditangguhkan ekoran penularan Covid-19 yang semakin serius.

Menurut kenyataan daripada AFC, mereka kini sedang menunggu keputusan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) sebelum mengumumkan penangguhan perlawanan itu pada bulan Oktober dan November 2020.

Aksi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Bahrain yang dijadualkan pada 21 Mac 2020 turut dibatalkan kerana kerajaan Bahrain telah mengetatkan perjalanan keluar dan masuk ke negara berkenaan membabitkan individu-individu dari negara yang berdekatan atau berhampiran dengan wabak covid-19 termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Iran.

Namun begitu, menurut laporan daripada Arena Metro, semalam,  skuad Harimau Malaya dijangka akan meneruskan latihan pusat seperti biasa bermula pada 16 Mac ini.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Perancangan Tan Cheng Hoe Terganggu Selepas Pembatalan Perlawanan Menentang Bahrain

Skuad Harimau Malaya Berpeluang Kaut Hampir 40 Mata FIFA Ranking Jika Menang Semua Perlawanan Bulan Mac 2020

FIFA Ranking: Malaysia Kekal Dikedudukan 154 Dunia, Palestin Muncul Sebagai ‘Biggest Movers’

Sumber