Sadio Mane kini berada dalam senarai untuk dijual oleh Bayern Munich, tak sampai semusim bersama dengan pasukan gergasi Bundesliga itu.

Laporan oleh Sky Sports Jerman menyebut bahawa, Bayern Munich menganggap pembelian Sadio Mane dari Liverpool sebagai satu kesilapan ataupun pembelian yang salah.

Bayern sudah berbincang dengan Tuchel. Pengurus itu menganggap Mane bukan pemain yang menepati profil pemain dikehendaki taktikalnya.

Mane sebelum ini terlibat dalam konfrontasi dengan Leroy Sane. Pemain antarabangsa Senegal itu menumbuk Sane sehingga cedera di bibirnya.

Bayern sudah mengenakan penggantungan ke atas Sadio Mane. Dan kemudian mendenda pemain itu lebih €300 ribu kerana kesalahan itu.

Dan kini masa depan Mane di dalam bahaya. Pemain itu mahu dijual oleh Bayern Munich serta merta pada jendela perpindahan akan datang. Bayern Munich sudah hilang kesabaran ke atas Mane.

Menurut laporan koresponden Sky Sports Jerman, Florian Plettenberg: “Daripada apa yang saya dengar, Bayern akan cuba sedaya upaya untuk menendang keluar Sadio Mane pada musim panas akan datang.”

“Dari sudut pandangan kesukanan, Thomas Tuchel tiada perancangan dengan Sadio Mane, yang tidak sesuai dengan sistemnya.”

“Ini adalah informasi saya. Pemain ini dinilai secara kritikal secara dalaman.”

Selain itu, Bayern turut menganggap gaji Sadio Mane terlalu besar dibandingkan dengan sumbangannya kepada Bayern Munich sejak dia tiba di kelab itu.

Mane menerima €20 juta semusim di Bayern Munich pada ketika ini. Menjadikan beliau antara penerima gaji tertinggi di Bayern. Lembaga Pengarah Bayern beranggapan ianya satu pembaziran yang dibuat pada era Julian Nagelsmann.

Dan mereka sudah melakukan penilaian bersama tentang prestasi Sadio Mane.

Mane setakat ini masih belum menunjukkan potensi terbaiknya sejak menyertai Bayern Munich dari Liverpool. Di mana ketika di Liverpool dia memenangi segalanya bersama kelab di Anfield itu.

Sadio Mane juga bergelut dengan masalah kecederaan sepanjang musim ini sehingga terlepas aksi Piala Dunia 2022 yang lalu.

Jadi ke manakah destinasi seterusnya Sadio Mane jika benar benar dijual oleh Bayern Munich selepas ini?