Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai bayaran hak penyiaran Liga Malaysia 2018 yang telah diagihkan kepada semua 24 pasukan dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 dan 100PLUS Liga Premier 2018, melalui laman sosial Facebook rasmi hari ini.

Pasukan unifi Liga Super Malaysia telah menerima imbuhan sebanyak RM 3 juta manakala pasukan 100PLUS Liga Premier telah menerima RM 1 juta. Dengan dorongan dan inisiatif DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Pengerusi FMLLP, ini adalah imbuhan terbesar yang telah diterima oleh pasukan Liga Malaysia.

Bagi pihak FMLLP, mereka akan terus bekerja keras untuk meningkatkan lagi nilai imbuhan yang diagihkan kepada semua pasukan dari masa ke semasa selaras dengan saranan dari DYAM Tunku Pengerusi yang mahukan pasukan unifi Liga Super menerima imbuhan sebanyak RM 6 juta hingga RM 7 juta setahun.

Sebahagian Sahaja Diberikan Kepada Pasukan Bermasalah

Dalam kenyataan itu juga, FMLLP dengan jelas memberitahu mana-mana pasukan yang masih mempunyai penalti, jumlah tersebut akan ditahan manakala baki selebihnya telah diagihkan kepada pasukan.

Baki yang ditahan akan dibayar semula selepas meneliti semula keputusan rayuan yang dibuat jika terdapat sebarang perubahan.

Dengan struktur agihan imbuhan hak penyiaran serta tajaan ini, ianya dapat mengukuhkan kewangan serta menjamin kestabilan pasukan dalam jangka masa panjang.