Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa mempelawa mana-mana jutawan yang berminat untuk menjadi pemilik pasukan ibu kota itu dengan bayaran RM13 juta sebagai langkah penswastaan kelab.

Langkah melakukan pemisahan FA ke FC itu telah pun diarahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada kelab-kelab yang bertanding pada Februari 2020, dan diwajibkan menyelesaikan proses tersebut sebelum 30 September 2020.

Menurut kenyataan Nokman dalam Sinar Harian, harga itu merangkumi RM10 juta untuk pasukan utama dan juga RM3 juta untuk perbelanjaan skuad Bawah 21, Bawah 19, Bawah 17 tahun, skuad wanita, futsal dan bola sepak pantai.

“Kalau ikutkan mana-mana pihak yang mahu ambil FC ini mereka perlu ambil semua sekali. Tetapi, jika dah fokus kepada pasukan utama, mungkin mereka tidak mampu uruskan semua pasukan lain. Jadi mereka mungkin bagi KLFA uruskan pasukan lain.

“Jadi pemilik baharu itu kena bantu kita dalam RM3 juta untuk uruskan pasukan muda dan pasukan lain yang ada. Jika mereka mahu ambil kesemuanya pun tak apa. Mungkin kena bayar sedikit token kepada kita atau macam mana. Segalanya masih boleh dibincangkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Nokman Mustaffa
Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustafa. Sumber Gambar: Stadium Astro

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed mengesahkan setakat ini hanya lima persatuan dan kelab sudah melengkapkan proses penswastaan dan pemisahan FA ke FC.

Paling mengejutkan, Perlis FA adalah antara pasukan yang sudah melengkapkan proses penswastaan walaupun disingkirkan daripada Liga Malaysia tahun lalu ekoran masalah kewangan yang serius.

Pasukan yang lain ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Sarawak FA, PJ City, ATM FA dan Negeri Sembilan FA.

Namun, Nokman menegaskan KLFA kali ini mengamalkan konsep yang berbeza dalam proses penswastaan dimana mereka masih menguruskan skuad Kuala Lumpur dari segi perlesenan.

“Buat masa ini penswastaan kelab ini kita lakukan dengan konsep masih dimiliki sepenuhnya oleh KLFA. Andai kata dalam beberapa bulan nanti ada individu atau syarikat yang mahu ambil sepenuhnya mereka boleh berbuat demikian.

“Lagipun, KLFA masih boleh ada pegangan sehingga dua tahun dalam pasukan sehingga ada pihak yang betul-betul mahu ambil alih. Cuma bagi kita mudah saja perlu ada situasi menang-menang. Lagipun daripada segi pelesenan dan sebagainya masih diuruskan KLFA.

“Tahun ini dan 2021 mungkin mereka boleh membantu kita terlebih dahulu menguruskan pasukan dan pada2022 mereka boleh berjalan sendiri.

“Tetapi segalanya masih dalam perbincangan. Kita tidak mahu terburu-buru dan perlu melihat dalam semua aspek kerana ia demi masa depan pasukan,” katanya.

Baca artikel lain mengenai isu penswastaan kelab dalam Liga Malaysia yang pernah dilaporkan sebelum ini.

KFA Hantar Surat Rasmi Kepada Aliff Syukri Bincang Tentang Pemilikan Kelab

Perlis FA Antara 6 Pasukan Yang Sudah Lengkapkan Proses Penswastaan Kelab

FAM Jumpa 3 Wakil Kelab Bantu Selesaikan Proses Pertukaran FA Ke FC

12 Pasukan Liga Malaysia Sedang Giat Lengkapkan Proses Pertukaran FA Ke FC