Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengingatkan anak buahnya agar tidak terpedaya dengan status ‘barisan kedua’ oleh skuad kebangsaan Jordan apabila bakal menentang mereka dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Katanya, perlawanan itu merupakan medan untuk pemain mempamerkan kemampuan sebenar mereka menentang lawan yang berkualiti sebelum beliau menyenaraikan 23 pemain terbaik untuk dibawa ke Jakarta menentang Indonesia pada 5 September depan.

“Perlawanan menentang Jordan adalah perlawanan ujian buat semua pemain dan mereka sedar tahap pasukan lawan yang akan kita hadapi malam esok.

“Perlawanan ini memberikan mata untuk ranking, jadi sudah tentu kita mahukan keputusan memberangsangkan dan kita masih mencari kombinasi yang terbaik di mana kita juga belum pasti untuk kesebelasan utama. Senarai 23 pemain akan diumumkan selepas aksi malam esok.

“Saya mahu pemain meningkatkan intensiti permainan dan tampil dengan persembahan lebih kemas serta turun dengan keyakinan yang tinggi,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.

69305533_2350869715009779_150792642450423808_o
FOTO: FAM

Justeru itu, Cheng Hoe menganggap tiada istilah ‘barisan kedua’ buat Jordan walaupun pasukan lawan menjalani latihan tanpa tonggak utama mereka selama dua hari di padang Sime Darby, Bukit Jelutong, Shah Alam selepas tiba di Malaysia, kelmarin.

“Saya telah melihat mereka beraksi dalam Piala Asia dan beberapa siri perlawanan sebelum ini, mereka adalah pasukan yang seimbang. Perkara paling penting untuk kami adalah memberikan tumpuan sepanjang permainan.

“Setakat ini, saya tahu mereka sudah mengumpulkan ramai pemain mereka untuk aksi malam esok. Sebagai jurulatih, kita perlu sentiasa fokus sama ada kita bertemu barisan utama ataupun barisan kedua.

69575380_2350869708343113_6500407533339934720_n
FOTO: FAM

“Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, ini adalah peluang terbaik buat kita kerana corak permainan Jordan lebih kurang sama dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“UAE sememangnya berada pada tahap yang lebih tinggi tetapi kita tidak boleh memandang rendah Jordan kerana mereka juga antara pasukan terbaik di Timur Tengah,” katanya.

Artikel lain berkaitan dengan aksi persahabatan Malaysia menentang Jordan, jom baca sini:

Jordan Mungkin Turunkan Skuad Kedua Menentang Malaysia Esok

Sistem Tiket Dengan Tempat Duduk Bernombor Mula Digunakan Dalam Perlawanan Malaysia Bertemu Jordan

Jordan Panggil Al Dmeiri Perkuatkan Benteng Pertahanan Hadapi Malaysia