Kelab baharu Hiroki Abe, FC Barcelona telah menentapkan klausa perpindahan untuk pemain muda tersebut sebesar €40 juta dan boleh meningkat sehingga €100 juta jika Abe beraksi dalam skuad utama bagi saingan musim 2019/2020.

Barcelona hari ini membuat pengumuman mengenai perpindahan Abe daripada Kashima Antlers di laman web rasmi kelab dimana kedua-dua pihak bersetuju dengan yuran perpindahan sebesar €1.1 juta dan kontrak selama 4 tahun untuk pemain berusia 20 tahun itu.

Hiroki Abe
Sumber Gambar: Mundo Deportivo

“Hiroki Abe telah lulus ujian perubatan dan telah menandatangani kontrak yang ditawarkan dalam satu majlis yang dihadiri wakil kelab seperti Pengarah kelab, Silvio Elías, Josep Segura, Jose Mari Bakero dan Guillermo Amor.

“Abe merupakan seorang pemain yang boleh beraksi di posisi sayap dan juga tengah. Kini beliau berpeluang untuk meningkatkan lagi kualiti permainan beliau bersama FC Barcelona,” menurut satu kenyataan di laman web kelab tersebut.

Pemain yang memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik J League itu dijangka bakal beraksi bersama Barcelona B dalam saingan Segunda División B, divisyen ketiga dalam piramid bola sepak Liga Sepanyol.

Selain Abe, seorang lagi pemain muda Jepun, Takefusa Kubo juga akan beraksi di Sepanyol apabila beliau menyertai Real Madrid.