Chelsea dilaporkan dalam proses memeterai kontrak dengan Jules Kounde dan berharap urusan perpindahan itu akan dapat diselesaikan pada hujung minggu ini.

Melihat perkembangan rundingan antara Chelsea dan Sevilla, Barcelona kini panik untuk memintas rundingan tersebut.

Namun Barca harus menunggu suntikan dana baharu yang akan masuk dilaporkan pada hari ini.

Sebelum ini Barca menerima suntikan dana sekitar EUR200 juta daripada penjualan sebahagian daripada hak penyiaran mereka.

Bek tengah Sevilla, Jules Kounde, sememangnya menjadi sasaran banyak kelab terkemuka Eropah. Chelsea sudah dikaitkan dengan Kounde sejak musim lalu lagi.

Namun ketika itu Sevilla berkeras hanya akan menjual pemain itu dengan harga yang sangat tinggi.

Sevilla dikatakan sudah berjanji dengan Kounde bahawa mereka sedia mendengar tawaran untuk pemain itu pada jendela musim panas ini.

Ianya sebahagian syarat yang dipersetujui secara verbal antara Sevilla dan Kounde dalam usaha kelab itu mengekalkan pemain itu.

Daripada banyak banyak pasukan yang memantau Kounde, kini ada dua pasukan yang sedang bersaing sengit iaitu Chelsea dan Barcelona.

Barcelona dilaporkan sedang mencari dana untuk menandatangani Kounde dalam pasaran perpindahan musim panas 2022. Mereka baru melepaskan Clement Lenglet ke Spurs.

Selepas mengukuhkan barisan hadapan mereka dengan menandatangani Raphinha dan Robert Lewandowski, Barcelona mahu merombak bahagian pertahanan.

Nama Kounde juga menjadi sasaran Barcelona selain nama pemain pertahanan Chelsea, Cesar Azpilicueta dan Marcos Alonso.

Kounde kini menjadi keutamaan Blaugrana pada jendela perpindahan musim panas 2022 selepas mereka berjaya mendapatkan dua sasaran utama mereka minggu ini iaitu Lewandowski dan Raphinha.

Namun begitu, Barca masih belum membuat sebarang bidaan rasmi untuk pemain itu.

Walaupun sudah mendapatkan Koulibaly, namun Chelsea harus memikirkan soal jangka masa panjang. Dengan Thiago Silva sudah menuju ke fasa akhir kariernya. Koulibaly dianggap pengganti kepada Rudiger yang menyertai Real Madrid secara percuma.

Barcelona malah cuba meyakinkan Kounde agar menolak tawaran Chelsea dan menunggu tawaran rasmi daripada mereka.

Barcelona masih berusaha menjual Frenkie De Jong, Memphis Depay, Martin Braithwaite dan juga Samuel Umtiti.