Penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi yang terpaksa melupakan bola sepak lebih dua bulan akibat masalah kesihatan mengakui tidak sabar untuk kembali menjalani latihan bersama pasukan.

Pemain kelahiran Ipoh yang berusia 22 tahun itu sebelum ini terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Pulau Pinang setelah dikesan terdapat darah beku pada saluran darah ke bahagian otaknya.

Keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa fokus terhadap proses pemulihan dan keadaan tersebut sedikit sebanyak menganggu pemikirannya.

Namun selepas lebih dua bulan, perkembangan anak sulung kepada bekas penjaga gol ATM, Perlis dan Perak, Suhaimi Mat Lazim itu sudah menunjukkan perubahan positif.

Malah, Shafiq juga sudah mula menjalani latihan secara bersendirian dalam usahanya untuk kembali mendapatkan kecergasan dan mood untuk bersama pasukan.

“Perkembangan terkini saya alhamdulillah, semakin hari semakin nampak banyak perubahan dan perkembangan positif terhadap diri saya setelah kecederaan yang saya alami dulu.”

“Walaubagaimanapun, saya masih lagi dibawah pemantauan dan pemeriksaan doktor dari semasa ke semasa untuk memastikan keadaan saya benar-benar pulih,” ujar Shafiq ketika ditemui wakil Vocket FC.

“Perasaan saya semestinyaa sedih setelah sekian lama tidak beraksi. Lagipun bola sepak ini merupakan punca pendapatan dan minat saya, semestinya saya terkesan dan sedih.”

“Selama dua bulan saya dinasihatkan dan tak dibenarkan oleh doktor untuk melakukan sebarang aktiviti walaupun aktiviti yang ringan seperti berjogging dan menyepak bola, apatah lagi untuk saya melakukan aktiviti yang berat.”

“Jadi diri saya memang amat ‘gian’ mahu beraksi semula dan memulakan latihan di padang seperti kebiasaan.”

“Alhamdulillah kerana sekarang doktor sudah mula benarkan saya untuk lakukan aktiviti2 ringan seperti jogging dan sebagainya cuma aktiviti berpasukan masih belum dibenarkan lagi kerana bimbang dengan kecederaan saya yang masih belum pulih.”

Shafiq Afifi Suhaimi
Perkembangan terkini Shafiq Afifi.

“Namun, fisio dan jurulatih penjaga gol Penang sudah memberikan program-program yang boleh saya lakukan berseorangan, sesuai dengan keadaan saya.”

Ketika ditanya mengenai peluang untuk perebutan posisi penjaga gol apabila Penang ketika ini sudah memiliki tiga penjaga gol, Shafiq masih optimis beliau mampu untuk membuktikan kualiti dimilikinya.

“Memang tidak dinafikan, terlihat begitu sukar untuk saya mendapatkan semula tempat ke pasukan setelah sekian lama berehat tidak beraksi dan tidak menyertai latihan bersama pasukan.”

“Tetapi, saya tetap akan bekerja dengan lebih keras setelah kecederaan saya sembuh sepenuhnya untuk saya bangkit dan buktikan kemampuan sebenar saya kepada semua dan kembali ke tahap prestasi yang sebenar serta mendapat tempat didalam pasukan. Tiada apa yang mustahil, ‘fall down seven times, get up eight’ ” tambah Shafiq Afifi lagi.