Bekas pengurus yang cukup berpengalaman, Guus Hiddink mendedahkan rasa bangganya terhadap pencapaian Park Hang-seo dalam membimbing skuad kebangsaan Vietnam.

Pengendali Vietnam itu nyata bukanlah asing buat Hiddink kerana pernah menjadi pembantunya sewaktu bergelar pengurus skuad Korea Selatan pada tahun 2001 hingga 2002.

Mula bersama Vietnam pada Oktober 2017, Park Hang-seo telah menjelmakan impak pantas yang dapat disaksikan apabila skuad B-23 Vietnam muncul naib juara Kejuaraan AFC B-23.

Selain itu mereka berjaya menduduki tempat keempat Sukan Asia 2018. Barisan pemain muda Vietnam seterusnya muncul juara Sukan SEA bagi dua temasya berturut-turut (2019 dan 2021).

Bagi pasukan senior pula, Vietnam menamatkan penantian 10 tahun untuk menjulang trofi Piala AFF selepas menundukkan Malaysia pada edisi 2018.

Kecemerlangan terutamanya di peringkat senior telah meletakkan Vietnam sebagai 100 pasukan terbaik dalam ranking dunia FIFA dimana pada ketika ini mereka berada dikedudukan ke-96.

“Saya berbangga melihat salah seorang daripada pembantu saya berjaya bersama Vietnam,” ujar Hiddink menurut laporan dikeluarkan media Vietnam, ZingNews.

“Saya berharap Vietnam dapat layak ke Piala Dunia 2026 kerana lebih mudah untuk melakukannya pada ketika itu kerana jumlah pasukan telah ditambah pada aksi yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada itu.”

“Banyak contoh untuk membangunkan strategi melibatkan antara kelab dan persatuan bola sepak yang mampu menjadi kunci utama kepada pembangunan pasukan kebangsaan.”

“Jika ramai pemain Vietnam banyak didapati di luar negara, ini bermakna mereka mempunyai peluang untuk mengembangkan lagi potensi.”

“Bermain di Eropah akan membuatkan pemain biasa dengan iklim kompetitif yang boleh membantu karier mereka di pentas antarabangsa,” tambah Hiddink lagi.

 

Sumber