Malaysia menamatkan saingan kumpulan B dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di tangga kedua selepas tewas 1-4 pada aksi terakhir bertemu India, malam tadi.

Kedudukan itu menyaksikan Lee Zii Jia Dan rakan sepasukannya telah diundi untuk bertemu pasukan pilihan pertama, China pada aksi suku akhir yang bakal berlangsung petang nanti di Dubai Exhibition Centre, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Zii Jia yang disandarkan harapan untuk mengutip mata pertama negara tidak kesampaian apabila beliau tunduk ditangan H.S Prannoy dengan keputusan 21-18, 13-21, 23-25.

India mengukuhkan kedudukan pada aksi kedua dalam acara perseorangan wanita apabila Pusarla Sindhu menewaskan pemain muda negara, Wong Ling Ching dengan ‘straight set’ 21-13, 21-17.

Pada set kedua, Ling Ching sudah berjaya meninggalkan Sindhu dengan kedudukn 14-4 tetapi pemain utama India itu bijak menyerap tekanan untuk mengejar mata sehingga berjaya mencatatkan kemenangan.

Malaysia kemudiannya berjaya merapatkan defisit mata selepas pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk menewaskan Dhruv Kapilla-Chirag Shetty 21-16, 21-10.

Kredit Foto: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

Segalanya seperti tidak menjadi buat pasangan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang menyaksikan mereka tunduk kepada Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela 21-23, 21-15.

Kekalahan itu sekali gus meletakkan lawan selaku juara kumpulan yang menyaksikan India telah diundi bertemu Hong Kong.

Kerana masih di peringkat kumpulan, aksi dalam acara beregu campuran turut berlangsung meskipun India sudah mendahului 3-1.

Aksi terakhir itu juga turut menjadi milik India dimana Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto menundukkan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dalam ‘rubber set’ 21-19, 19-21, 21-16.

Berdepan China yang tidak menurunkan barisan terkuat pada saingan BAMTC kali ini perlu digunakan sepenuhnya pemain Malaysia untuk melangkah ke separuh akhir.