Hajat Malaysia untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Campuran Asia (BAMTC) 2023 lebur apabila tunduk 2-3 kepada pilihan utama, China pada aksi yang berlangsung di Dubai Exhibition Centre awal pagi tadi.

Ia merupakan kali ketiga berturut-turut perjalanan Malaysia terhenti di peringkat suku akhir selepas turut mengalaminya pada edisi pertama (2017) dan kedua (2019).

Kem negara bermula dengan cukup baik apabila sandaran utama bagi acara perseorangan lelaki, Lee Zii Jia menghadiahkan mata pertama selepas berjaya menundukkan Lei Lan Xi 21-16, 22-20.

Kedudukan itu bagaimanapun diikat kembali China menerusi perseorangan wanita berikutan kekalahan Goh Jin Wei ditangan Gao Fang Jie dalam aksi mendebarkan yang berlangsung hingga ‘rubber set’ 21-15, 13-21, 19-21.

Percaturan barisan kejurulatihan meletakkan Ong Yew Sin -Teo Ee Yi untuk berhadapan dengan He Ji Ting-Zhou Hao Dong tidak membuahkan hasil apabila pasangan kedua negara itu tewas ‘straight set’ 22-24, 18-21 untuk memberikan kelebihan buat China.

Gandingan Pearly Tan-M. Thinaah mengikat kembali kedudukan selepas berjaya menundukkan pasangan muda, Tan Ning- Liu Shen Shu 21-17, 12-21, 21-19 untuk pemenang terpaksa ditentukan pada aksi beregu campuran.

Bagaimanapun, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing kecewa ditangan Feng Yanzhe-Huang Dong Ping 15-21, 23-25 sekali gus memastikan slot separuh akhir menjadi milik China yang akan berhadapan dengan India.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir BAMTC yang bakal berlangsung hari ini menemukan Thailand dan Korea Selatan selepas masing-masing melakukan kejutan selepas menundukkan Jepun serta Indonesia.