Lagenda bola sepak Indonesia, Bambang Pamungkas menegaskan musim terbaiknya ketika bergelar seorang pemain profesional adalah ketika beraksi dalam saingan Liga Malaysia bersama pasukan Selangor.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Bambang memberikan sebab mengapa beliau menganggap musim terbaiknya sebagai pemain adalah bersama Selangor dan bukan kelab yang membesarkan namanya iaitu Persija Jakarta.

“Saya sendiri merasa kalau ditanya mengenai bila musim terbaik saya selama berkarier sebagai pemain profesional, maka jawapannya bukan bersama Persija.

“Ini kerana musim terbaik saya sebagai pemain pada tahun 2005 ketika saya beraksi di Malaysia bersama pasukan Selangor. Saya memenangi juara Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan tidak lupa juga Piala Sultan Selangor.

“Saya juga muncul sebagai penjaring terbanyak Piala FA dan Liga Premier selain dipilih sebagai pemain terbaik Liga Premier,” katanya.

Tambah Bambang Pamungkas, sekiranya beliau ditanya mengenai kelab mana yang paling berkesan dalam karier beliau, bekas pemain itu memilih Persija.

Ketika beraksi bersama Selangor, Bambang mencipta gandingan mantap bersama seorang lagi pemain Indonesia iaitu Elie Aiboy dan gandingan ini dimanakan The Indonesian Connection oleh peminat.

Setelah bersara dari dunia bola sepak profesional, Bambang dilantik sebagai pengurus pasukan Persija pada 17 Januari 2021 dan beliau kemudiannya melepaskan jawatan itu pada 31 Mac 2022.

Kini Bambang mula berjinak dengan kerjaya sebagai pengulas dan baru-baru ini beliau dipilih sebagai salah satu pengulas untuk temasya Piala Dunia 2022 di salah satu stesen televisyen tempatan.