Pengurus Persija Jakarta, Bambang Pamungkas tanpa berselindung mengakui amat berat hati untuk melepaskan lima pemain kelab tersebut bagi menyertai kem latihan pusat skuad bawah 23 tahun (B-23) Indonesia.

Latihan pusat yang bakal diadakan di Bali melibatkan 29 orang pemain itu merupakan persiapan terakhir skuad kendalian Shin Tae-yong sebelum mereka terbang ke Kemboja untuk menghadapi Kejuaraan AFF B-23 bermula 14 hingga 26 Februari nanti.

Berdasarkan pengumuman Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) pada 1 Februari lalu, lima orang pemain dari Persija Jakarta berada dalam senarai pemain terpilih sekali gus menjadikan kelab tersebut memiliki wakil paling ramai berbanding pemain daripada 14 kelab lain.

Lima pemain yang dimaksudkan ialah Cahya Supriadi (penjaga gol), Muhammad Ferarri (pertahanan), Syahrian Abimanyu (tengah) serta Irfan Jauhari (sayap) dan penyerang, Taufik Hidayat.

Meskipun sukar buat Bambang kerana bakal kehilangan khidmat pemain-pemain tersebut berkemungkinan lebih daripada lima perlawanan liga, beliau tetap melihat tuntutan negara sebagai keutamaan buat mereka.

Lima pemain yang dipanggil sertai sesi latihan pusat skuad B-23 Indonesia. Kredit Foto: Persija Jakarta

“Dalam keadaan pada ketika ini, secara jujurnya saya sangat berat untuk melepaskan lima pemain tersebut ke skuad kebangsaan,” ujar Bambang kepada laman sesawang rasmi Persija Jakarta.

“Namun sekali lagi, Persija memiliki perjanjian dengan sejarah untuk selalu memberikan sumbangan terbaik buat bola sepak Indonesia. Komitmen tersebut yang membuatkan kami memilih untuk melepaskan mereka menyertai skuad kebangsaan.”

“Semoga mereka dapat memberikan yang terbaik dan membuktikan jika mereka layak untuk memakai jersi Merah-Putih,” tambah legenda yang pernah mewarnai saingan Liga Malaysia itu.

Selepas mengharungi 22 perlawanan Liga 1 Indonesia setakat ini, Persija Jakarta menghuni tangga keenam dengan 32 mata selepas mencatatkan lapan kemenangan, lapan keputusan seri dan enam kekalahan untuk ketinggalan 15 mata dibelakang pendahulu liga, Arema FC.

Malah, skuad bimbingan pengendali sementara, Sudirman itu bakal berhadapan dengan Arema pada aksi seterusnya pada 5 Februari nanti di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia:

Presiden Fiorentina Kecam Vlahovic & Ejennya Yang Menipu Serta Cuba Menghancurkan Fiorentina

Thailand Hantar Skuad B-19 Tahun Hadapi Saingan AFF B-23

Benjamin Mora: “Syahmi Safari Tidak Biasa Dengan Sesi Latihan Intensiti Tinggi JDT”