Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini telah mengumumkan senarai 16 pemain yang dipilih mewakili negara untuk menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC) di Dubai, UAE pada 14 hingga 19 Februari ini.

Ia adalah gabungan pemain kebangsaan dan profesional bagi membentuk barisan terkuat berdasarkan pengalaman serta kedudukan ranking dunia masing-masing.

Lebih mengejutkan, nama pemain perseorangan lelaki yang berada di ranking 27 dunia iaitu Ng Tze Yong tidak disenaraikan kali ini.

Menurut kenyataan daripada BAM, Tze Yong tidak dipilih kerana akan menumpukan perhatian mempersiapkan diri bagi menghadapi siri kejohanan Eropah seperti All England

Pasukan Malaysia kali ini dilihat cukup kuat kerana turut disertai oleh pemain di ranking nombor 2 dunia, Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), juara dunia 2022 iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), juara sukan komanwel 2022, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan (beregu wanita) serta beregu campuran berpengalaman, Lai Pei Jing-Tan Kian Meng.

Beregu profesional lelaki yang berada di ranking nombor 8 dunia, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut memperkuatkan pasukan sebagai gandingan kedua jika Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengalami kecederaan.

BAM juga turut menyenaraikan pemain muda baharu, Wong Lin Ching untuk perseoragan wanita bersama bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei.

Pada edisi sebelum ini yang berlangsung di Hong Kong pada 2019, BAM memilih menghantar skuad kedua mereka. Malaysia tewas 0-3 kepada China yang menjuarai kejohanan itu, pada suku akhir.

Selepas tamat Kejohanan Campuran Asia, pasukan ini akan menghadapi Piala Sudirman di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei. Piala Sudirman ialah kejohanan Badminton Campuran yang menampilkan pasukan terbaik dari seluruh dunia.