Kelab Liga 1 Indonesia, Bali United mencatat sejarah apabila menjadi kelab pertama di rantau Asia Tenggara yang menjual saham mereka melalui tawaran Initial Public Offering (IPO) di Bursa Efek Indonesia. Penjualan saham telah bermula hari ini dan Bali United menjual sebanyak 2 billion unit dengan harga Rp155-175 per unit.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bali United, Yabes Tanuri menegaskan langkah yang diambil oleh pihaknya itu bertujuan untuk memajukan lagi industri bola sepak di Indonesia sekaligus sebagai salah satu cara untuk mereka menuju ke arah pemodenan.

Bali
Sumber Gambar: PSSI

“Dengan penjualan saham Bali United untuk umum, semakin banyak pihak yang menyokong bagi mencapai visi dan misi Bali untuk mencapai kejayaan. Sudah tentu para penyokong akan mempunyai peranan yang lebih aktif dalam memberikan sokongan kepada pasukan kami,” kata Yabes.

Langkah Bali ini nyata mendapat sambutan hangat apabila mereka ketika ini dikhabarkan menghadapi lebihan permintaan dimana ramai pihak mahu membeli saham Bali. Menurut penganalisis Kresna Sekuritas, Robertus Yanuar Hardy lebihan permintaan saham yang dihadapi Bali kerana kelab tersebut memiliki penyokong yang ramai.

Bali United
Sumber Gambar: wartabalionline.com

“Para penyokong turut memainkan peranan dalam IPO ini. Masyarakat Bali dan Gianyar juga diketahui mempunyai semangat yang tinggi dalam menyokong Bali,” kata Robertus menurut laporan Pos Papua.

Selain menjual saham mereka di Bursa Efek Indonesia, Bali United turut menubuhkan pasukan E-Sports mereka sendiri yang diberi nama Island Of Gods. Satu pencapaian yang patut dicontohi oleh kelab di rantau Asia Tenggara yang lain.