Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan terdapat cadangan supaya pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 diadakan secara karnival pada bulan Jun 2021 di negara yang terpilih.

Beliau berkata cadangan tersebut akan dimuktamadkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam masa terdekat. Penganjuran perlawanan secara karnival dilihat sebagai langkah yang sesuai bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

Hanya tinggal 3 lagi baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan ia perlu dihabiskan pada bulan Jun untuk menentukan wakil negara ke pusingan ketiga.

“Jun itu tarikh akhir di mana FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) mengarahkan perlu dijalankan pertandingan. Kalau mana-mana pasukan tidak dapat keluar negara menyertai pusingan kelayakan itu akan terbatal mata (yang) dikumpul.

“Saya akan pastikan pasukan negara mesti pergi untuk bermain dalam pusingan kelayakan itu. Kerajaan termasuk MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sudah dimaklumkan,” katanya dipetik dalam Bernama.

136382313_3528694697227269_4898246150683810442_o

FOTO: FAM

Antara sebab lain perlawanan itu perlu dijalankan secara karnival ialah beberapa pasukan berdepan kesukaran untuk keluar negara disebabkan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh kerajaan masing-masing.

“Kalau lihat sekarang hanya Malaysia, Indonesia dan Thailand berdepan kesukaran berkaitan pergerakan keluar dan masuk negara manakala Vietnam dan UAE nampak okey. Jadi ia memerlukan persetujuan antara pasukan dalam sesebuah kumpulan itu,” katanya.

AFC sebelum ini pernah menganjurkan perlawanan AFC Champions League 2020 di Doha, Qatar secara karnival membabitkan 12 pasukan dari setiap zon. Keputusan itu dibuat berdasarkan kemampuan Qatar memenuhi keperluan logistik sebagai tuan rumah seperti penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) serta infrastruktur perubatan.

Berdasarkan tinjauan di media sosial, China muncul antara negara yang menawarkan untuk jadi tuan rumah semua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022 kerana mempunyai fasiliti berkelas dunia dan berpengalaman luas mengawal penularan wabak COVID-19.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan bertemu Bahrain dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 19 Mac di Manama sebelum menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang UAE pada 25 Mac 2021 di Dubai.

5 hari kemudian, mereka dijadualkan menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan ketujuh kumpulan G.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah. 

TMJ Terima Hadiah Jersi Baharu Harimau Malaya Daripada FAM Sebagai Tanda Penghargaan

Ini Reaksi ‘Ekor’ Harimau Malaya Terhadap Jersi Baharu Skuad Kebangsaan Yang Baru Dilancarkan

Ketandusan Aksi Kompetitif, Tan Cheng Hoe Bimbang Pemain Harimau Malaya Lemau

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group