Penyerang yang bakal bersama Manchester City pada musim 2022/23, Julian Alvarez mencuri tumpuan apabila meledakkan enam gol ketika membantu River Plate menewaskan wakil Peru, Alianza Lima 8-1 pada aksi Copa Libertadores, awal pagi tadi.

Lebih menarik, ‘double hatrick’ yang dihasilkan pemain berusia 22 tahun itu hadir di setiap babak selepas beliau mencetak jaringan pada minit ke-15, 18 dan 41 manakala tiga lagi gol disumbangkan ketika permainan memasuki minit ke-54, 57 dan 83.

Pesta jaringan itu juga memastikan kelab gergasi Argentina tersebut menamatkan peringkat kumpulan F di tangga teratas dengan lima kemenangan dan satu keputusan seri.

Dengan kualiti hebat dimilikinya dalam merobek gawang lawan, kemampuan Alvarez pastinya akan menimbulkan kegusaran buat barisan pertahanan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim baharu nanti.

Malah, Pep Guardiola turut memuji kemampuan pemain kelahiran Cordoba, Argentina ini dalam menghidu peluang untuk menjaringkan gol.

“Untuk umur, harga dan banyak alasan lagi untuk masa depannya adalah pembelian yang baik. Dia merupakan seorang pemain yang mempunyai naluri pemusnah mendapatkan jaringan, kualiti, dan pergerakannya dari belakang.”

“Dia sangat dinamik. Mempunyai keinginan, keghairahan serta kekuatan tanpa bola,” ujar Guardiola menurut kenyataan yang pernah dikeluarkannya di laman sesawang rasmi Manchester City.

Manchester City akan terus menjadi pasukan yang ditakuti kerana selain Julian Alvarez, mereka juga baharu sahaja mengesahkan kehadiran Erling Haaland bagi memantapkan lagi barisan hadapan kelab tersebut.

Direkrut The Cityzens pada hari terakhir jendela perpindahan musim sejuk lalu dengan tanda harga £14 juta, Alvarez kemudiannya dipinjamkan semula ke River Plate yang mana merupakan kelab yang diwakilinya sejak usia 16 tahun.

Menarik untuk disaksikan sama ada beliau akan kembali dipinjamkan selepas tamat tempoh pinjaman bersama River Plate atau menjadi antara pilihan Pep Guardiola.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Ancelotti: Semangat Tinggi Salah Untuk Balas Dendam Satu Benda Yang Baik

Kerajaan UK, Premier League Luluskan Pembelian Chelsea

Masalah Dokumentasi Belum Selesai, Nooa Laine Tidak Dapat Beraksi Di Piala Asia B-23