Ujian getir bakal dilalui Melaka United FC apabila berdepan pasukan yang kini berada di puncak prestasi, Sri Pahang FC pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 yang akan berlangsung di Stadium Hang Jebat, malam esok,

Hakikat itu dikongsikan pertahanan Melaka United, Mohd. Fadhli Shas, sambil melabelkan Sri Pahang sebagai sebuah pasukan berbeza sejak diterajui Dollah Salleh yang menggantikan Christoph Gamel.

Justeru, tiada jalan mudah buat Melaka United yang berhasrat mahu kembali bangkit selepas dikecewakan Sabah FC di Stadium Likas pada 31 Julai lalu.

“Walaupun bermain di laman sendiri pada Sabtu ini, saya tidak fikir kami ada kelebihan besar memandangkan mereka sedang lalui fasa terbaik apabila menang dalam tiga perlawanan terakhir.

” Memang perlawanan ini sangat getir dan kami perlu memanfaatkan sahaja peluang serta ruang malah tidak boleh lakukan banyak kesilapan kerana jentera serangan Sri Pahang begitu berbahaya.

” Saya juga mengenali kekuatan dimiliki Dollah kerana pernah bekerja dengannya semasa bersama pasukan kebangsaan satu ketika dahulu, beliau sangat pandai membangkitkan semangat pemain-pemain.

” Namun Melaka United tidak boleh terlalu gentar dengan Pahang kerana kami juga ada kelebihan tersendiri serta ada pamerkan banyak peningkatan kebelakangan ini, cuma ada kalanya keputusan tidak sebelahi pasukan, ” katanya.

Sejak diambil Dollah, Sri Pahang hanya tewas kepada Penang FC, 5-2 pada peringkat suku akhir Piala FA namun berjaya mengejutkan Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan PJ City FC pada tiga aksi terakhir.

Biarpun berada di tangga kesembilan Liga Super, Melaka United masih mempunyai peluang terbuka untuk mengejar kedudukan dalam kalangan empat terbaik berikutan jurang mata yang tipis dengan Kuala Lumpur City selain Sri Pahang, Terengganu, Kedah Darul Aman dan Selangor.

Sementara itu, Fadhli harap momen kekalahan kepada Sabah melalui jaringan pada minit terakhir perlawanan tidak akan berlaku sekali lagi terutama aksi bertemu Sri Pahang.

Malah, situasi itu seakan-akan mengulangi apa yang terjadi ketika Melaka tewas kepada JDT pada saingan suku akhir Piala FA, 23 Julai lalu.

” Tewas pada saat-saat terakhir permainan sememangnya satu momen yang sangat pedih kepada mana-mana pemain dan harap perkara sama tidak akan terjadi lagi.

” Kami perlu kekalkan fokus sehingga tamat wisel permainan jika tidak mahu terus dilanda kekecewaan kerana apa sahaja boleh terjadi dalam bola sepak dan menentang Sri Pahang,saya harap kami tidak lagi lalui detik yang sama,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

SUKMA 2022: Perak Giat Persiapan Misi Raih Kejuaraan Kali Keempat Berturut-Turut

Subkhiddin: Kelakuan Begini Tidak Dialu-Alukan Dalam Bola Sepak Peringkat Tinggi

Piala Thanh Nien 2022: Tewas Penentuan Sepakan Penalti, Malaysia Raih Tempat Kedua