Pemain pertahanan berpengalaman skuad kebangsaan Singapura, Baihakki Khaizan mengambil keputusan untuk bersara dari dunia bola sepak profesional.

Perkara ini diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) di laman media sosial rasmi dimana mereka mengucapkan terima kasih di atas jasa Baihakki sepanjang beraksi bersama The Lions.

Baihakki merupakan antara pemain Singapura yang memiliki pengalaman luas beraksi di peringkat Asia Tenggara dimana beliau pernah beraksi dengan beberapa kelab di rantai ini.

Antara kelab yang pernah diwakili oleh pemain yang mesra disapa Bai itu ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Persija Jakarta, Persib Bandung, Trat FC dan beberapa kelab di Singapura seperti Geylang United, Warriors FC dan Tampines Rovers.

Di peringkat antarabangsa, Baihakki membantu Singapura memenangi tiga kejuaraan Piala AFF Suzuki iaitu pada edisi 2004, 2007 dan 2012 selain pingat gangsa Sukan SEA edisi 2007.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan terima kasih di atas jasa Baihakki Khaizan sepanjang tiga musim beraksi bersama pasukan itu.

“Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya dan selamat bersara. Anda telah banyak berjasa terhadap bola sepak Singapura. Anda telah memberikan komitmen 100 peratus dan dedikasi terhadap pasukan kebangsaan.

“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih di atas jasa anda terhadap kelab saya. Anda selalu menjadi sebahagian daripada keluarga JDT. Selamat maju jaya dan jaga diri,” kata TMJ dipetik dari video yang dimuat naik Baihakki di laman Instagram miliknya.

Secara keseluruhan, Baihakki telah tampil dalam 142 perlawanan bagi skuad kebangsaan Singapura dan beliau berjaya menyumbang 5 gol.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Safiq Rahim Sedia Kembali Beraksi Bersama Pasukan Kebangsaan

Skuad Bola Sepak Wanita Filipina Lakar Sejarah Layak Ke Piala Dunia 2023

Negeri Sembilan Sambar Seorang Lagi Bekas Pemain Import Pahang